KUALA TERENGGANU: Seorang pemuda terdorong untuk masuk menyelamatkan Allahyarham Jusoh Muda, 83, yang sudah lemah dan terduduk di lantai halaman rumahnya kerana tidak mahu warga emas itu terkorban dalam kebakaran di Kampung Losong Haji Su, pada Isnin lalu.
Amer Hasheimi Wan Aimiubaidi, 30, berkata, beberapa kali dia mencuba untuk mendekati mangsa, namun terhalang kerana api yang menyambar dari kediaman di samping bahang kebakaran yang panas.
Katanya, kebakaran kira-kira pukul 10.30 pagi itu berlaku ketika dia memeriksa pejabat bapanya yang terletak selang sebuah rumah sebelum terdengar bunyi letupan dan bergegas ke lokasi kejadian.
“Arwah nampak keletihan mungkin kerana berusaha keluar daripada kebakaran dan apabila tiba di halaman dia sudah tidak mampu berjalan lalu terduduk di lantai yang jaraknya dengan api antara tiga ke lima meter sahaja.
“Saya berada di pagar pada masa itu dan timbul rasa bersalah jika tidak membantu pakcik Jusoh sedangkan saya boleh melakukan sesuatu, jadi saya tunggu masa yang bersesuaian apabila tiada api menyambar untuk menghampiri arwah dan segera memimpinnya keluar,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Kelmarin, Utusan Malaysia melaporkan anak kepada Jusoh mencari individu yang sanggup menggadai nyawa membantu membawa keluar arwah bapa mereka agar tidak terperangkap dalam api, bagi mengucapkan rasa terima kasih atas keberanian yang ditonjolkan.
Dalam pada itu, Amer Hasheimi berkata, seorang lelaki tidak dikenali turut bersama-samanya memimpin mangsa sebelum diserahkan kepada individu lain selepas warga emas berkenaan berjaya dibawa keluar di pagar rumah.
Katanya, dia bersyukur kerana arwah dapat diselamatkan dalam kebakaran itu dan sekurang-kurangnya berpeluang bersama dengan keluarga sebelum menghembuskan nafas terakhir di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), pada Khamis lalu.
“Saya tidak pernah menyelamatkan orang sebelum ini, perbuatan itu terjadi secara spontan kerana rasa tanggungjawab. Jadi untuk rakan-rakan di luar jangan takut untuk menghulurkan bantuan kecemasan kepada orang yang memerlukan sama ada yang dikenali atau tidak kerana pertolongan itu mungkin dapat memastikan individu lain tidak kehilangan insan tersayang,” katanya. – UTUSAN ONLINE