Rampas dadah RM7.2 juta di tepi pantai - Utusan Malaysia

Rampas dadah RM7.2 juta di tepi pantai

ABDUL MAJID Mohd. Ali (dua dari kiri) menunjukkan dadah yang dirampas di di Pantai Klebang, Melaka. - UTUSAN/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Cubaan enam ahli sindiket pengedaran dadah antarabangsa untuk menghantar keluar bekalan bernilai RM7.2 juta dengan menggunakan laluan perairan negeri ini berjaya dipatahkan sepasukan polis selepas kesemua mereka diberkas di Pantai Klebang di sini, kelmarin.

Dalam serbuan kira-kira pukul 12.15 pagi itu, kesemua yang ditangkap berusia antara 25 hingga 52 tahun.

Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd. Ali berkata, hasil risikan sepasukan polis telah menahan terlebih dahulu seorang lelaki yang menaiki kereta jenis Toyota Harrier dalam keadaan mencurigakan di kawasan tersebut.

Katanya, pemeriksaan lanjut pada kenderaan tersebut menemukan 142.22 kilogram (kg) dadah termasuk 83.084 kg jenis syabu dan 59.14 kg ekstasi.

“Susulan itu, kita menangkap lima lagi suspek termasuk seorang wanita warga Vietnam berusia 25 tahun yang turut berada di lokasi berhampiran menaiki kereta Toyota Altis.

“Kita percaya kesemua mereka terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah rentas negara dan sedang menunggu transporter dari negara jiran mengambil bekalan tersebut menggunakan laluan laut,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di sini, hari ini.

Tambahnya, kesemua dadah yang dirampas itu dianggarkan mampu menampung kegunaan kira-kira 368,000 penagih.

Mengulas lanjut, Abdul Majid berkata, modus operandi digunakan suspek adalah dengan menggunakan borang kebenaran perjalanan palsu untuk melepasi sekatan jalan raya (SJR).

“Suspek telah menggunakan borang kebenaran pihak polis yang palsu, malah, turut mempunyai surat sokongan kononnya daripada sebuah syarikat perladangan dan pertanian dari Selangor.

Ujarnya, dalam serbuan itu juga, pihaknya turut menyita kenderaan bernilai RM58,000, wang tunai RM860, jam tangan RM4,000 dan barang kemas RM1,218.

Jelasnya lagi, hasil semakan lanjut mendapati, kesemua suspek mempunyai rekod jenayah dan kesalahan membabitkan dadah.

“Saringan ujian air kencing dilakukan ke atas mereka turut positif. Keenam-enam suspek kini direman selama tujuh hari bermula semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya