Rakyat perlu sokong Pelan Pemulihan Negara - Utusan Malaysia

Rakyat perlu sokong Pelan Pemulihan Negara

WAN SAIFUL WAN JAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Semua pihak digesa menyokong Pelan Pemulihan Negara yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana ia merupakan strategi kerajaan sebagai ‘jalan keluar’ daripada pandemik Covid-19.

Menurut Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan, dalam keadaan kes Covid-19 yang masih tinggi, pelan seperti ini adalah penting bagi mengembalikan keseimbangan kepada rakyat supaya dapat menjalani kehidupan kembali seperti biasa.

“Kesusahan yang dihadapi hanya boleh diselesaikan dengan cara mengembalikan negara kepada kehidupan harian biasa, dan itu memerlukan keseimbangan antara kesihatan dan kelangsungan ekonomi. Pelan ini menjadi peta bagaimana kita akan menjaga keseimbangan itu untuk segera keluar daripada krisis yang sedang dihadapi.

“Pengumuman Pelan Pemulihan Negara oleh Tan Sri Perdana Menteri sudah tentu memberi pencerahan kepada rakyat mengenai bagaimana kita akan keluar daripada belenggu wabak Covid-19. Seluruh jentera Bersatu menyokong penuh Pelan tersebut dan berikrar akan turut sama membantu memastikan kita mencapai kejayaan,” katanya dalam kenyataan menerusi laman sosial Facebook, hari ini.

Wan Saiful turut berkata, Bersatu kini sedang giat mengedarkan pelbagai bentuk bantuan kepada mangsa Covid-19 melalui Bahagian-Bahagian dan Cawangan-Cawangan Bersatu seluruh negara.

Kempen pendaftaran vaksinasi turut digerakkan, di samping khidmat sukarelawan parti untuk membantu operasi Pusat Pemberian Vaksin di pelbagai lokasi.

“Saya tertarik apabila Perdana Menteri menyatakan bahawa berdasarkan unjuran Kementerian Kesihatan, kes harian kita hari ini boleh mencecah 13,000 kes sekiranya PKP tidak dilaksanakan. Sedangkan, bilangan kes positif mula ke bawah 5,000. Ini adalah satu data yang penting.

“Ia bermaksud langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan telah menyelamatkan lebih 8,000 orang. Data ini menunjukkan strategi kerajaan sebenarnya berjaya,” ujarnya lagi.

Wan Saiful dalam masa yang sama turut mencadangkan agar setiap data mengenai bilangan kes positif diumumkan, maka ia mestilah diumumkan sebagai perbandingan dengan unjuran jika tiada PKP pada hari atau minggu tersebut.

“Mereka yang biasa dengan metodologi perbandingan statistik pasti akan maklum mengenai kepentingan perbandingan dengan ‘control group’ dalam mengukur keberkesanan sesuatu intervensi. Unjuran itu boleh menjadi data ‘control’.

“Saya menyeru seluruh rakyat dan pemimpin masyarakat semua peringkat agar mendokong Pelan Pemulihan Negara yang diumumkan ini. Daftar untuk vaksinasi. Patuhi SOP. Bantu sesama kita setakat yang termampu. Hanya dengan bergerak bersama, kita boleh menang bersama,” ujarnya lagi. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya