Raja-Raja Melayu perlu pilih pemimpin sebenar tangani Covid-19 - Utusan Malaysia

Raja-Raja Melayu perlu pilih pemimpin sebenar tangani Covid-19

TENGKU Razaleigh Hamzah
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seorang pemimpin yang mempunyai keupayaan dan kefahaman mendalam harus dipilih bagi menangani krisis Covid-19 dengan baik tanpa membabitkan kepentingan peribadi mahupun fahaman politik.

Veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, pemilihan itu harus dibuat Raja-Raja Melayu selaras dengan Sumpah Jawatan Yang di-Pertuan Agong di hadapan Raja-Raja Melayu yang memilih baginda mewakili Majlis Raja-Raja Melayu.

Tegasnya, pemilihan itu juga dikatakan amat perlu susulan negara sedang menghadapi ‘krisis bertubi-tubi’ yang tidak pernah berlaku, khasnya dari segi kesihatan dan ekonomi.

“Tanggungjawab ini memerlukan pemilihan seorang pemimpin tanpa kepentingan peribadi, parti politik mahu pun pertimbangan peribadi. Pemimpin tersebut semestinya mempunyai kemampuan, keupayaan, visi dan pemahaman mendalam mengenai keadaan semasa demi memimpin kerajaan yang mampu membantu kita mengatasi keadaan teruk yang melanda rakyat sekarang.

“Perlembagaan dan institusi negara tidak terbentuk untuk menghadapi keadaan yang sedang melanda kita. Sama ada institusi kenegaraan kita dapat menangani keadaan ini adalah suatu keraguan kerana mutu kepimpinan pada masa kini menjadi tanda tanya,” katanya dalam satu kenyataan.

Perbincangan Khas Raja-raja Melayu akan berlangsung pada 2.30 petang ini dengan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah dijangka mengemukakan pandangan pemimpin parti politik mengenai pelbagai isu semasa.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin dilaporkan berkata, pandangan tersebut disuarakan selepas Agong berkenan menerima menghadap 18 pemimpin parti politik secara bersemuka dan maya di Istana Negara sejak Rabu lalu hingga semalam.
Tengku Razaleigh turut berkata, kepimpinan negara semasa memainkan peranan penting untuk membawa perubahan terhadap cara hidup rakyat dan masa depan.

“Sesungguhnya, kita berada di dalam keadaan serba salah. Persoalan yang timbul adalah apakah negara ini dapat meneruskan kedudukannya seperti mana keadaan terdahulu?

“Kepimpinan seperti yang terdapat di masa lampau kini tidak relevan lagi. Ia tidak dapat menangani pelbagai masalah berkaitan ekonomi yang dihadapi serentak, termasuklah masalah pengangguran tinggi dan kehilangan pendapatan.” jelasnya lagi

Beliau berkata, rakyat Malaysia, terutamanya mereka yang miskin, kini dalam keadaan terdesak dan kecewa.
Justeru, katanya, raja-raja Melayu bertanggungjawab memainkan peranan Perlembagaan yang dianggap penting untuk memilih pemimpin yang selayaknya.

“Kita ada dua pilihan, sama ada hadapinya dan selesai semua masalah atau menempuhi kegagalan. Lipatan sejarah banyak merakam kegagalan kepimpinan. Kita tidak harus memberi ruang kepada kegagalan.

“Kini, perasaan tidak puas hati dalam kalangan rakyat mengenai keadaan semasa semakin tebal, walaupun ia tidak disuarakan oleh mereka. Gelombang sepi ini mencerminkan kehilangan keyakinan oleh rakyat terhadap pemimpin mereka. Kita tidak harus membenarkan keadaan ini membiak.” ujarnya.

Sementara itu, Tengku Razaleigh yang juga ahli parlimen Gua Musang turut menjelaskan, terdapat tiga ‘kekurangan’ Dewan Rakyat yang ditauliahkan Perlembagaan sebagai penentu muktamad untuk memilih Perdana Menteri daripada kalangan wakil rakyat.

“Ia tidak berfungsi secara menyeluruh kerana sebahagian daripada wakil rakyat mempunyai kepentingan kewangan (sama ada secara terbuka atau senyap) dan hilang kelayakan mengikut Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952.

“Dewan Rakyat kini dalam keadaan tergantung dan tiada pihak mempunyai majoriti untuk membuat keputusan. Juga terdapat ahli yang tidak menepati peruntukan Perlembagaan berkaitan pemilihan mereka dan ini merupakan penipuan terhadap Perlembagaan.”

Katanya, tiada peruntukan di dalam Perlembagaan atau mana-mana undang-undang untuk menyelesaikan masalah itu. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya