Raih 11A berkat tidak lokek ilmu - Utusan Malaysia

Raih 11A berkat tidak lokek ilmu

WAN Nur Alya Bahirah Wan Anuar (kanan) yang meraih 11A dalam SPM 2020 bersama ibunya, Norlia Ali di kediaman mereka di Panji Alam, Kuala Terengganu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 yang meraih keputusan 11A, Wan Nur Alya Bahirah Wan Anuar, 18, pernah menjadi ‘guru  muda’ bagi membimbing rakan sekelasnya dalam subjek Matematik Tambahan semasa sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) lalu.

Kesungguhan Wan Nur Alya Bahirah mencurahkan ilmu menerusi kelas yang diadakan secara panggilan video pada sebelah malam membuahkan hasil apabila dua ‘pelajarnya’ mendapat keputusan A dalam subjek berkenaan.

Wan Nur Alya Bahirah berkata, walaupun bergelut dengan pembelajaran norma baharu, tetapi tidak mematahkan semangatnya untuk belajar bersungguh-sungguh termasuk memanfaatkan kemudahan gajet dan internet bagi menambahkan lagi pengetahuan.

Anak kepada pasangan guru dan pegawai bank itu adalah antara 16 pelajar Sekolah Menengah Agama (Atas) Sultan Zainal Abidin (SMAASZA) yang memperoleh semua A dengan lapan A+ dalam subjek sejarah, matematik, sains, matematik tambahan, prinsip akaun,  usul al-din, al-syariah dan bahasa arab.

“Bagi memantapkan tahap pengetahuan dalam matematik tambahan, cikgu melantik beberapa pelajar sebagai guru muda yang menjadi mentor kepada rakan lain dan usaha itu berbaloi kerana kami dapat berbincang dan menyiapkan tugasan secara berkumpulan.

“Rutin kelas dilakukan setiap tiga kali seminggu secara panggilan video menerusi aplikasi WhatsApp atau Telegram dan saya sangat seronok apabila mengetahui mereka mendapat A dalam subjek itu,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.

Wan Nur Alya Bahirah berkata, selain sesi PdPR, dia turut mengikuti pembelajaran tambahan secara dalam talian semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 lalu di samping meneroka bahan di YouTube dan portal-portal berkaitan.

“Segala proses PdPR yang dilalui sejak tahun lalu memberi pengalaman berharga kerana sekurang-kurangnya kami sudah mahir kaedah meneroka ilmu di internet di samping mampu belajar secara berdikari sebagai persediaan ke universiti.

“Selepas ini saya merancang untuk menyambung pengajian dalam bahasa arab di Jordan melalui Institut Pendidikan Guru (​IPG),” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya