GEORGETOWN: Kerajaan negeri Pulau Pinang menolak dakwaan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Che Abdullah Mat Nawi yang mana projek tambak laut di perairan selatan negeri ini (PSR) akan membawa ‘malapetaka’ kepada nelayan.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, Pembangunan PSR yang bermula dengan satu pulau akan mengambil masa kira-kira 20 tahun dan dalam tempoh itu, laluan untuk ke laut masih sangat luas untuk kegunaan nelayan.
Ujarnya, salah satu inisiatif dalam memastikan nelayan tidak terhalang untuk ke laut sepanjang tempoh tambakan dan pembangunan pulau-pulau PSR juga adalah alur navigasi seluas 250 meter (m) di antara PSR dan pulau utama yang akan memberi akses kepada nelayan untuk ke laut.
Selain itu, jelas beliau, pendaratan ikan di kawasan selatan pulau Pulau Pinang hanya menyumbang empat peratus kepada jumlah pengeluaran ikan bagi seluruh negeri pada 2015.
Dalam konteks jumlah pengeluaran ikan seluruh negara pula, tambah Kon Yeow, jumlah pendaratan yang disumbangkan dari kawasan selatan pulau Pulau Pinang adalah berjumlah 0.2 peratus.
“Kawasan yang menyumbangkan empat peratus jumlah pengeluaran ikan adalah tidak terhad di tapak PSR sahaja. Kawasan penangkapan ikan nelayan pesisir pantai selatan Pulau Pinang adalah jauh lebih luas dan jauh dari tapak penambakan.
“Ini bermakna, nelayan masih ada tempat yang luas untuk aktiviti penangkapan ikan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sebelum ini, Che Abdullah berkata, PSR yang dirancang diteruskan kerajaan negeri Pulau Pinang akan menjadi malapetaka kepada nelayan di negeri itu khususnya dan menjejaskan sektor perikanan negara.
Tegasnya, ketika Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) sedang berusaha keras bersama pelbagai pihak menambah baik penyelesaian untuk meningkatkan tahap sara diri (SSL) ikan negara, kerajaan negeri Pulau Pinang tanpa rasa bersalah mengumumkan untuk meneruskan projek itu.
Sementara itu Kon Yeow berkata, melalui PSR, Pulau Pinang akan dapat mewujudkan tanah baharu untuk pembangunan industri, komersial dan perumahan serta mewujudkan ribuan pekerjaan.
Tambah beliau, komuniti nelayan juga akan mendapat manfaat Pelan Pengurusan Impak Sosial (SIMP) yang boleh memperbaiki keadaan sosioekonomi termasuk memberi peluang pendidikan, latihan dan pekerjaan kepada anak-anak mereka.
“Tanpa PSR, komuniti nelayan akan kekal dengan keadaan mereka yang sedia ada tanpa menikmati apa-apa perubahan.
“Pulau Pinang pula akan kehilangan peluang untuk membangun serta mewujudkan pekerjaan untuk rakyat dan generasi akan datang,” katanya. – UTUSAN ONLINE