Pulau Pinang batal hasrat dapat sendiri vaksin, pegang jaminan tambahan dos dari Pusat - Utusan Malaysia

Pulau Pinang batal hasrat dapat sendiri vaksin, pegang jaminan tambahan dos dari Pusat

CHOW Kon Yeow dan Dr. Jemilah Mahmood  bertanyakan sesuatu kepada warga emas yang menerima suntikan vaksin Covid-19 pada hari pertama operasi PPV Spice Arena, Bayan Baru, Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Kerajaan negeri Pulau Pinang tidak akan meneruskan cadangan untuk mendapatkan atau membeli sendiri vaksin Covid-19 bagi keperluan penduduk negeri ini.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, perkara itu berikutan kerajaan Pusat sudah memberi jaminan bekalan vaksin bagi negeri ini akan ditambah sekurang-kurangnya setengah juta dos lagi dalam masa terdekat.

Malah, jelas beliau, Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin sewaktu lawatan ke negeri ini minggu lalu juga memberi komitmen sasaran pemberian vaksin kepada penduduk Pulau Pinang dapat dicapai menerusi program PICK.

“”Bersandarkan kepada jaminan ini, maka, soal pembelian sendiri vaksin itu tidak lagi menjadi isu.

“Ini kerana kita akan bergantung sepenuhnya kepada kerajaan Pusat untuk memastikan bekalan vaksin kepada Pulau Pinang mencukupi, seterusnya, matlamat supaya semua penduduk negeri ini menerima vaksin menjelang Oktober tahun ini dapat dicapai,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas melawat hari pertama operasi pusat pemberian vaksin (PPV) mega di Spice Arena, Bayan Baru di sini yang turut dihadiri Penasihat Khas kepada Perdana Menteri mengenai Kesihatan Awam, Tan Sri Dr. Jemilah Mahmood.

Untuk permulaan hari ini, PPV Spice Arena itu akan memberikan suntikan vaksin kepada 1,000 penduduk sehari serta 3,000 orang pada hari bekerja dan 2,000 orang pada hujung minggu.

Selain PPV awam, sebanyak enam buah hospital swasta turut dijadikan pusat pemberian vaksin bermula hari ini dan 14 Jun ini dengan kapasiti antara 50 hingga 200 penduduk sehari bergantung kepada kapasiti dan keupayaan.

Bagi PPV klinik pula, ketika ini sebanyak 13 buah klinik sudah mendaftar dengan ada yang sudah mula beroperasi dengan kapasiti suntikan vaksin antara 36 hingga 90 penerima seminggu.

Sebelum ini, kerajaan negeri terpalit kontroversi selepas mendakwa kerajaan Pusat tidak meluluskan derma dua juta dos vaksin Covid-19 oleh sebuah syarikat swasta sebelum dinafikan Khairy yang memaklumkan tawaran itu adalah palsu.

Dalam pada itu, Kon Yeow berkata, dengan tambahan vaksin yang akan diterima daripada kerajaan Pusat, kerajaan negeri kini mensasarkan untuk memberikan vaksin kepada antara 15,000 hingga 20,000 penduduk sehari berbanding antara 10,000 hingga 15,000 sehari seperti ditetapkan ketika ini.

Jelasnya, peningkatan penerima vaksin itu juga bagi membolehkan sasaran imuniti kelompok dapat dicapai pada Oktober tahun ini atau mungkin lebih awal antara iaitu pada Ogos atau September.

“Sehubungan itu apa menjadi keutamaan dan tumpuan kita ketika ini juga adalah dari segi memastikan kemampuan PPV dan tenaga kerja adalah mencukupi supaya matlamat harian pemberian vaksin ini dapat dicapai,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya