PUTRAJAYA: Sejumlah RM522 juta berjaya diagihkan kepada 10 kelompok sasar di seluruh seluruh negara di bawah program Mus’adah 1.0 dan 2.0 oleh sebahagian agensi-agensi agama di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) yang terlibat.
Menterinya, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, agihan bantuan itu berlangsung sejak 18 Mac 2020 hingga 28 Mei lalu melibatkan pemberian dalam bentuk wang tunai, dana perniagaan, latihan kemahiran, bank makanan dan makanan sedia untuk dimakan.
Kata beliau, ini termasuk wakaf kesihatan (katil unit rawatan rapi , paparan ICU, Syringe Pumpu, Infusion Pump, mesin BIPAP , ventilator ICU, home ventilator, katil dan lain-lain peralatan perubatan), projek baik pulih dan bina rumah, bantuan komputer riba dan sebagainya.
“Bantuan diberikan kepada 10 kelompok sasar di seluruh negara merentasi agama dan bangsa.
“Musa’adah 1.0, 2.0 dan 3.0 adalah inisiatif kecil daripada pihak kami sebagai pelengkap kepada pakej bantuan dan rangsangan ekonomi daripada kerajaan yang berjumlah RM340 bilion kepada rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Zulkifli, bagi Mus’adah 3.0 yang bermula pada 1 Jun lalu sempena sekatan pergerakan penuh, sasaran bantuan lebih giat diagihkan ke seluruh negara di samping kelompok sasar terbaharu iaitu rakyat Palestin di Malaysia dan di Palestin.
Katanya, agensi-agensi agama di bawah kementerian berjaya mengumpulkan RM3.3 juta untuk disalurkan terus kepada keluarga rakyat Palestin di Malaysia dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menguruskan bantuan kepada Palestin.
Beliau menjelaskan, isu Palestin khususnya Baitul Maqdis tidak akan berakhir begitu sahaja tetapi ia sentiasa menjadi perebutan selagi mana faham Zionisme terus menguasai.
Sebarang sumbangan boleh disalurkan ke Tabung Musa’adah COVID-19 JAKIM-YWM melalui akaun CIMB Islamic Bank Berhad atas nama Yayasan Waqaf Malaysia (86-0221818-6).- UTUSAN ONLINE