KINABATANGAN: Kerajaaan negeri akan melaksanakan program jerayawara (outreach) secara menyeluruh bermula Julai bagi memastikan sasaran 85 peratus rakyat Sabah divaksin menjelang Oktober tercapai.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, apabila bekalan vaksin tiba pada bulan depan, program jerayawara akan turut diperluaskan agar penduduk di kawasan luar bandar boleh diberikan vaksin.
Beliau yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag berkata, penduduk luar bandar tidak mempunyai akses kesihatan dan berdepan dengan masalah perhubungan jalan raya maka, pelaksanaan program sebegitu akan memudahkan proses pemberian vaksin kepada mereka.
“Saya yakin apabila suntikan vaksin diberikan secara menyeluruh, usaha kembali kepada kehidupan normal dapat dipercepatkan. Malah, sektor ekonomi yang terjejas juga dapat dipulihkan,” katanya semasa program jerayawara Kampung Balat dan Kampung Sangau semalam.
Turut hadir ialah Pegawai Daerah Kinabatangan Abdul Manap Abdul Rahim dan Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Lamag, Abu Bakar Gafar.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan berkata, pihaknya juga sedang melipat gandakan usaha memberi penerangan mengenai kebaikan vaksin dan mendaftar lebih ramai penerima vaksin di kawasan Parlimen tersebut.
Jelas Bung Moktar, kerjasama semua agensi kerajaan dan swasta penting bagi menjayakan proses pendaftaran dan pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang masih rendah di Sabah, khususnya dalam kalangan penduduk luar bandar.
“Kita tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada pendaftaran MySejahtera sahaja kerana masih ada kawasan yang tiada akses internet di luar bandar.
“Untuk itu, pemimpin masyarakat di peringkat akar umbi perlu memainkan peranan menjelaskan tentang kebaikan vaksin dan mendaftarkan mereka sebagai penerima bagi membantu mempercepatkan proses vaksinasi kepada rakyat di kawasan luar bandar,” katanya.- UTUSAN ONLINE