PETALING JAYA: Pilihan raya negeri (PRN) dan pilihan raya umum (PRU) boleh dijalankan pada tahun hadapan apabila imuniti kelompok mencapai sasaran seperti yang ditetapkan.
Pensyarah Kanan Kolej Undang-Undang, Pengajian Kerajaan dan Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Kamarul Zaman Yusoff berkata, ini berikutan Perdana Menteri sudah memberi jaminan bahawa PRU akan diadakan sebaik sahaja imuniti kelompok dapat dicapai.
“Jadi, apabila syarat yang ditekankan Perdana Menteri itu sudah dicapai, maka, tidak ada halangan lagi untuk mengadakan PRU mahu pun PRN.
“Memang boleh. Perdana Menteri sudah pun memberi jaminan bahawa PRU akan diadakan sebaik sahaja imuniti kelompok dicapai. Jadi, apabila syarat yang ditekankan Perdana Menteri itu sudah dicapai, maka tidak ada halangan lagi untuk mengadakan PRU,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kewajaran PRN dan PRU diadakan selepas imuniti kelompok dapat dicapai sehingga akhir tahun ini.
Kelmarin, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam status yang dimuat naik di Facebook berkata, kerajaan yakin usaha membentuk imuniti kelompok dalam kalangan masyarakat boleh dicapai menjelang akhir tahun ini.
Perdana Menteri berkata, usaha itu disegerakan lagi melalui pelaksanaan Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) yang antara lain bertujuan membantu mempercepat vaksinasi kepada golongan pekerja khususnya sektor pembuatan dan perkilangan.
Beliau berkata, pelaksanaan secara serentak PIKAS di Selangor, Pulau Pinang dan Johor memberi tumpuan kepada subsektor pembuatan kritikal merupakan antara langkah kawalan wabak di tempat kerja.
Sementara itu, Geostrategis, Dr. Azmi Hassan berkata, garis masa imuniti kelompok yang ditetapkan kerajaan tidak boleh menjadi ketetapan untuk melaksanakan PRN atau pun PRU.
Katanya, sasaran itu hanya bagi menangani pandemik Covid-19 sahaja.
“Bila diletakkan garis masa dan kaitannya dengan imuniti kelompok, ini adalah perkara yang amat berbahaya kerana meletakkan garis masa apabila berdepan dengan pandemik. Ini kerana pandemik Covid-19 di luar kawalan kita.
“United Kingdom umpamanya, terpaksa menunda pelan pemulihan mereka selama sebulan lebih lewat dari yang dijangka kerana mereka telah meletakkan garis masa,” ujarnya.- UTUSAN ONLINE