Premis tanpa lesen diserbu buang minyak - Utusan Malaysia

Premis tanpa lesen diserbu buang minyak

PERMUKAAN air Sungai Buluh yang berubah menjadi kehitaman kesan pencemaran minyak yang berlaku di Pasir Gudang, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR GUDANG: Sebuah premis tanpa lesen perniagaan di kawasan perindustrian Pasir Gudang, di sini diserbu sepasukan penguatkuasa Jabatan Alam Sekitar (JAS) Cawangan Pasir Gudang kerana menyebabkan pencemaran minyak di Sungai Buluh, hari ini.

Menurut kenyataan JAS negeri, serbuan itu turut melibatkan tiga anggota polis dari Balai Polis Pasir Gudang susulan siasatan setelah menerima aduan pencemaran di sungai berkenaan.

“JAS telah menjalankan siasatan di sepanjang Sungai Buluh dan mendapati punca sisa minyak hitam dari sebuah premis tanpa lesen perniagaan yang menjalankan aktiviti jual beli produk sawit.

“Hasil siasatan mendapati pelepasan minyak dilepaskan dari satu tangki sebuah lori dalam kawasan premis.

“Sebanyak empat persampelan sisa buangan telah diambil untuk dianalisa Jabatan Kimia bagi tindakan penguatkuasaan selanjutnya,” kata jabatan itu di sini, hari ini.

Menurut kenyataan itu lagi, pihak premis berkenaan diarahkan untuk menjalankan kerja-kerja pembersihan tumpahan minyak tersebut serta-merta.

Katanya, kertas siasatan juga akan dibuka untuk membawa pesalah ke muka pengadilan di bawah Seksyen 25 Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) 1974.

“JAS akan sentiasa memantau aktiviti premis dan semua pemain industri diingatkan untuk sentiasa mematuhi AKAS 1974 dan tidak melakukan sebarang pencemaran.

“Sebarang aduan pencemaran alam sekitar, orang ramai boleh menghubungi talian bebas tol JAS 1800882727 atau membuat aduan secara atas talian di eaduan.doe.gov.my,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya