Pragmatis sokong serah sebahagian ITK dan ITKA - Utusan Malaysia

Pragmatis sokong serah sebahagian ITK dan ITKA

MOHD. SALEHUDIN SUKOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas Universiti Sains Islam Malaysia (Pragmatis) menyokong keputusan supaya penjawat awam diwajibkan menyumbang ke dalam Akaun Amanah Bencana bagi tempoh tiga bulan.

Sumbangan itu menerusi penyerahan sebahagian daripada Imbuhan Tetap Keraian (ITK) dan Imbuhan Tetap Khidmat Awam (ITKA) sebagai satu sumbangan bagi menangani pandemik Covid-19 seperti yang diumumkan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali baru-baru ini.

Presiden Pragmatis, Mohd. Salehudin Sukor berkata, pihaknya berpandangan jumlah sumbangan itu bersesuaian dengan kemampuan penjawat awam sebagai tanda kebersamaan dalam menyokong usaha kerajaan memerangi dan melandaikan keluk jangkitan pandemik Covid-19 di negara ini.

“Kami menyeru agar para usahawan, profesional dan pekerja di sektor swasta daripada golongan kumpulan berpendapatan sederhana (M40) dan tinggi (T20) turut dapat bersama-sama bersolidariti menyumbangkan sedikit daripada pendapatan kepada Akaun Amanah Bencana ini bagi membantu rakyat yang terjejas.

“Pragmatis amat berharap penjawat awam dapat terus aktif memberikan sumbangan idea dan usaha dalam membantu kerajaan menangani cabaran pandemik Covid-19 dan menggembleng komitmen bagi membela rakyat dan membina kemakmuran negara,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohd. Zuki baru-baru ini berkata, lebih 800,000 penjawat awam diwajibkan menyumbang kepada Akaun Amanah Bencana bagi tempoh tiga bulan melalui pengurangan elaun berdasarkan gred perkhidmatan sebagai tanda solidariti dalam mendepani pandemik Covid-19.

Penetapan sumbangan berdasarkan gred perkhidmatan itu adalah 50 peratus bagi Jawatan Utama Sektor Awam (JUSA) A ke atas, JUSA B sebanyak 20 peratus, JUSA C sebanyak 10 peratus, Gred 44 hingga 56 sebanyak lima peratus melibatkan ITK, manakala, RM10 daripada ITKA bagi Gred 29 hingga 41. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya