PPV sementara di rumah ibadat - Utusan Malaysia

PPV sementara di rumah ibadat

DR. ZAINI berbincang dengan Mumtaz ketika melawat PPV Masjid Sultan Ismail Petra di Kubang Kerian, Kota Bharu hari ini. - UTUSAN/ROHANA MOHD. NAWI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kelantan mengambil inisiatif membuka Pusat Pemberian Vaksin (PPV) sementara di masjid, surau dan pondok selama lima hari, bermula hari ini bagi memberi kemudahan penduduk mendapatkan suntikan vaksin.

Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Zaini Hussin berkata, pemberian vaksin Covid-19 bagaimanapun tidak terhad kepada golongan Islam sahaja, sebaliknya turut terbuka kepada golongan bukan Islam.

Katanya, bagi memastikan penduduk menerima vaksin secepat mungkin, penggawa serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) turut membantu mengumpul nama penerima, selain melakukan pendaftaran melalui aplikasi MySejahtera.

“Sekiranya PPV sementara yang dibuka di pusat ibadat mendapat sambutan yang menggalakkan, kami akan melanjutkan tempoh sehingga 21 hari untuk pemberian suntikan dos kedua pula, bergantung kepada bekalan.

“Pembukaan PPV sementara ini memberi kemudahan kepada masyarakat setempat untuk mendapatkan suntikan vaksin, terutamanya bagi mereka yang terpaksa menghadiri janji temu di PPV agak jauh dari rumah masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan di PPV Sementara Bagi Daerah Kota Bharu dan Kubang Kerian iaitu PPV Masjid Sultan Ismail Petra, Kubang Kerian, di sini hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita negeri, Datuk Mumtaz Md Nawi.

Mengulas lanjut, Dr. Zaini berkata, pihaknya menganggarkan sekurang-kurangnya 250 individu bakal menerima suntikan vaksin dalam tempoh sehari di PPV Masjid Sultan Ismail Petra.

Beliau turut memberitahu, kesedaran masyarakat Kelantan terhadap vaksin Covid-19 semakin baik, malah ada dalam kalangan ahli jawatankuasa masjid menawarkan diri untuk mengadakan Program Outreach Vaksinasi Covid-19 di masjid.

“Melalui Program Outreach sebelum ini, ketidakhadiran penerima adalah rendah dan secara tidak langsung menunjukkan bahawa sambutan masyarakat Kelantan terhadap suntikan vaksin amat baik.

“Setakat ini, seramai 140,000 atau 11 peratus rakyat Kelantan sudah menerima suntikan vaksin dos pertama dan kita berharap bekalan vaksin mencukupi bagi memberikan suntikan kepada rakyat untuk dos kedua,” katanya.

Menurutnya, bagi kawasan pedalaman, pihaknya akan cuba untuk memastikan penduduk mendapat suntikan vaksin sebelum musim tengkujuh selewat-lewatnya pada September ini.

“Kita bimbang keadaan cuaca pada ketika itu akan menyukarkan pasukan kesihatan yang bertugas untuk masuk ke kawasan pedalaman yang hanya boleh dilalui dengan menaiki pacuan empat roda,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya