PARIT: Kerajaan akan memberi tumpuan terhadap Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang diuruskan oleh pejabat daerah dan tanah dalam usaha meningkatkan lagi program vaksinasi Covid-19 kepada masyarakat luar bandar.
Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd. Zuki Ali berkata, pihaknya membuat lawatan di PPV yang diuruskan oleh pejabat daerah dan tanah bagi memastikan proses pemberian vaksin berjalan lancar.
“Saya mahu melihat proses vaksinasi di PPV yang diuruskan pejabat-pejabat daerah sebab ia agak jauh ke dalam.
“Kalau tidak diberikan perhatian, kita takut jika ada masalah timbul dan sekiranya ada, kita boleh cari jalan penyelesaian,” katanya kepada pemberita selepas melawat PPV Dewan Serbaguna Seri Iskandar, di sini, hari ini.
Menurut Mohd. Zuki, lawatannya di dua buah PPV di negeri ini melibatkan Daerah Kinta dan Daerah Perak Tengah hari ini merupakan lawatan pertama beliau di PPV di luar Lembah Klang.
Katanya, lawatan itu untuk melihat kemajuan pelaksanaan vaksinasi yang telah dilaksanakan.
“Saya dapati kemudahan di PPV teratur serta baik dan saya datang untuk memberi sokongan moral kepada petugas barisan hadapan dan pejabat-pejabat daerah yang sama-sama berganding bahu memastikan proses pelaksanaan vaksinasi berjalan lancar,” katanya.
Mohd. Zuki juga berpuas hati dengan dengan maklum balas positif yang diterimanya ketika melawat PPV Stadium Indera Mulia, Ipoh hari ini yang memulakan khidmat suntikan vaksin secara pandu lalu, semalam.
“Saya lihat pelaksanaannya begitu terurus dan sempurna malah maklum balas dari penerima vaksin mengatakan mereka berasa selesa.
“Saya berharap PPV yang lain dapat melaksanakan perkara yang sama juga,” katanya. – UTUSAN ONLINE