PPSB laksana 4 pelepasan kargo, kontena sejak 18 Jun - Utusan Malaysia

PPSB laksana 4 pelepasan kargo, kontena sejak 18 Jun

TAN Teik Cheng (kanan) melawat Pangkalan Kontena Butterworth Utara (NBCT), Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH: Sebanyak empat pelepasan kargo dan kontena melibatkan pengendalian kontena eksport sebanyak 6,122 unit bersamaan 20 kaki (TEU) serta kontena import sebanyak 5,268 TEU berjaya dilaksanakan Penang Port Sdn. Bhd. (PPSB) bermula 18 Jun lalu. 

Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP), Datuk Tan Teik Cheng berkata, turut dilaksanakan sepanjang tempoh sama ialah pengendalian kargo import sebanyak 28,015 tan berat muatan (FWT). 

Menurutnya, pengendalian itu melibatkan kontena yang diimport pengilang seluruh zon utara negara ini dan kontena yang dieksport ke Singapura, Hong Kong, Taiwan dan Qingdao, China melalui Pelabuhan Klang. 

“Ketika ini situasi di Pelabuhan Pulau Pinang di bawah kawalan dengan jumlah keseluruhan penggunaan (pelepasan kargo dan kontena) berada di bawah paras 60 peratus,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Terdahulu, beliau mengadakan lawatan kerja ke Pangkalan Kontena Butterworth Utara (NBCT) untuk meninjau perkembangan semasa berkaitan kerja-kerja pelepasan kargo dan kontena itu. 


PANGKALAN Kontena Butterworth Utara (NBCT) di Butterworth, Pulau Pinang mengendalikan sebanyak 6,122 unit atau bersamaan 20 kaki (TEU) kontena eksport serta 5,268 TEU kontena import sepanjang tempoh ‘total lockdown’ bermula 18 Jun lalu.

Ujar beliau, kebenaran pelepasan itu dapat membantu pemain industri pelabuhan mengelak daripada mengalami kerugian berganda. 

Selain itu katanya, ia juga dapat menjimatkan kos pembayaran penyimpanan kargo dan kontena di pelabuhan selain kos sewaan kontena yang terpaksa ditanggung syarikat perkapalan. 

Teik Cheng memberitahu, beliau berpuas hati dengan pelaksanaan kerja-kerja tersebut yang dibuat secara berperingkat bagi mengurangkan kesesakan di pelabuhan-pelabuhan negara khususnya di Pelabuhan Pulau Pinang sepanjang tempoh sekatan pergerakan penuh.

“SPPP akan sentiasa membantu semua pihak sebagai pemudah cara untuk sektor pelabuhan bersesuaian dengan peranan sebagai Pihak Berkuasa Pelabuhan untuk Pelabuhan Pulau Pinang,” katanya. – UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN