PONTIAN: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian telah menutup tujuh laluan tikus di kawasan Benut dan Ayer Baloi yang dipercayai boleh menjadi laluan ke daerah-daerah berhampiran.
Ketua Polis Daerah Pontian, Superintenden Mustafa Bakri Salleh berkata, kerja-kerja memasang penghadang jalan dilakukan dengan kerjasama Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi memastikan Sekatan Pergerakan Penuh dipatuhi oleh orang ramai.
Katanya, satu pasukan ‘task force’ telah diwujudkan yang diketuai seorang pegawai dan 13 anggotanya melibatkan Unit Kereta Peronda (MPV), Unit Rondaan Bermotosikal (URB) serta dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD).
“Task force ini akan digerakkan bagi membuat pemantauan dan pemeriksaan mengikut zon ke atas orang ramai yang gagal mematuhi SOP sepanjang tempoh Sekatan Pergerakan Penuh ini.
“Kami meminta orang ramai di daerah ini mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sepanjang tempoh Sekatan Pergerakan Penuh sekiranya tidak mahu dikenakan tindakan tegas termasuk kompaun,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Tambah Mustafa Bakri, pihaknya tidak bercadang untuk menambah Sekatan Jalan Raya (SJR) yang kini terdapat di tiga lokasi iaitu di Pekan Nanas, Kampung Parit Panjang dan di depan Balai Polis Benut.
“Kita masih mengekalkan tiga SJR di lokasi tersebut iaitu bagi laluan ke Johor Bahru, Kulai dan ke Batu Pahat dengan dibantu oleh anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela),” ujarnya.
Katanya, bagi penugasan anggota di SJR, seramai tiga pegawai kanan, 42 anggota dan 18 anggota Rela terlibat, sementara penglibatan keseluruhan kekuatan pasukan untuk Sekatan Pergerakan Penuh adalah 143 orang iaitu 10 pegawai, 95 anggota dan 38 anggota Rela.- UTUSAN ONLINE