SEREMBAN: Pihak polis mengesahkan menerima laporan polis yang melibatkan seorang ahli sebuah parti politik yang diperas ugut oleh seorang individu lain.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Mohd. Fazley Ab. Rahman berkata, pihaknya menerima laporan tersebut pada 29 Mei lalu.
Jelas beliau, ahli politik itu telah diperas ugut melalui panggilan telefon supaya dia mendepositkan sejumlah wang ke dalam akaun bank.
“Kegagalan pengadu dalam mendepositkan wang tersebut, suspek akan menyebarkan video dan gambar pengadu dalam media sosial,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd. Fazley berkata, siasatan kes tersebut dijalankan di bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan kerana melakukan pemerasan.
“(Kesalahan) boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun atau dengan denda atau dengan sebat atau mana-mana dua daripada hukuman-hukuman itu.
“Siasatan lanjut masih diteruskan untuk mengesan suspek,” katanya lagi.
Semalam, Utusan Online melaporkan, UMNO Bahagian Seremban meminta pihak Lembaga Disiplin dan Majlis Tertinggi parti itu untuk mengambil tindakan sewajarnya susulan tersebarnya video aksi lucah membabitkan seorang pemimpin utama bahagian tersebut.
Naib Ketua UMNO Bahagian Seremban, Mazalan Maarof berkata, video berkenaan yang telah tersebar sejak 28 Mei lalu benar-benar telah mencemarkan imej parti malah turut telah dijadikan bahan sindiran oleh parti lawan. -UTUSAN ONLINE