PADANG TERAP: Polis menahan lelaki yang didakwa membakar naskhah tafsir al-Quran di belakang tandas awam berhampiran Bangunan Tabung Haji di pekan Kuala Nerang, di sini, semalam.
Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, polis menerima laporan mengenai tindakan lelaki itu yang tular dalam media sosial itu daripada orang awam pada pukul 12.25 tengah malam.
Menurutnya, siasatan awal mendapati lelaki bukan Islam berusia 36 tahun berkenaan bertindak demikian dipercayai cinta ditolak oleh kekasih yang beragama Islam.
Beliau berkata, suspek mendakwa naskhah tafsir al-Quran tersebut merupakan hadiah pemberian kekasihnya.
“Suspek mendakwa, dia tidak berniat untuk menyentuh sensitiviti agama.
“Selain menahan suspek, pihak polis turut merampas dua telefon bimbit, pemetik api serta selipar dipercayai digunakan suspek ketika kejadian bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Sejak semalam, terdapat empat klip video yang tular dalam media sosial berhubung kejadian itu dengan salah satunya memaparkan tindakan seseorang individu menyelak helaian tafsir al-Quran yang sedang terbakar menggunakan besi panjang.
Individu berkenaan bagaimanapun langsung tidak bercakap dalam video berdurasi satu minit dan lima saat itu.
Kamarul Zaman berkata, pemerhatian polis mendapati kejadian berlaku di kawasan terbuka dan tiada kamera litar tertutup di kawasan berhampiran.
“Polis turut mengambil sisa tafsir al-Quran yang dibakar itu bagi tujuan siasatan.
“Suspek telah direman dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 435 dan 295 Kanun Keseksaan,” katanya.-UTUSAN ONLINE