SHAH ALAM – Polis berjaya menumpaskan 10 sindiket ah long menerusi penahanan 38 ahli sindiket itu dalam 10 serbuan berasingan di sekitar Selangor, baru- baru ini.
Kesemua suspek termasuk empat warga asing berusia antara 21 hingga 61 tahun itu ditahan dalam Ops Vulture di sekitar Shah Alam, Petaling Jaya, Subang Jaya, Serdang, Klang, Hulu Selangor dan Sungai Buloh bermula 3 hingga 8 Jun lalu.
Turut dirampas tujuh buah kenderaan, wang tunai berjumlah RM51,170, telefon bimbit (72), kad mesin pengeluaran wang automatik (61), komputer (9) dan pelbagai jenama jam tangan berharga dan salinan rekod peribadi peminjam.
Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, siasatan mendapati sindiket yang beroperasi antara dua minggu hingga setahun itu menggunakan pelbagai medium sosial termasuk poster, banting dan pamplet yang ditampal serta diedarkan dalam peti surat atau kenderaan.
“Sindiket-sindiket ini menawarkan kadar faedah 10 hingga 15 peratus sebulan kepada peminjam.
“Sebanyak enam kes terlibat dengan pinjaman tidak wujud ini apabila mangsa tidak menerima wang pinjaman yang dipohon sebaliknya mereka diperdaya untuk membayar sejumlah wang proses bagi mendapatkan pinjaman tersebut,” katanya dalam sidang akhbar secara maya hari ini.
Mengulas lanjut, Arjunaidi memberitahu, hasil semakan mendapati sindiket itu terlibat dalam enam kes pinjaman wang tidak wujud di negeri-negeri lain.
Ujarnya, semakan turut mendapati 17 daripada suspek mempunyai rekod kesalahan lampau mengikut Seksyen 506 dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan, Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951.
“Seramai 12 ahli sindiket itu telah dituduh di mahkamah pada Jumaat lalu dan hari ini mengikut Seksyen 29 AA dan Seksyen 5 (2) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951 dan Peraturan 17 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam kawasan tempatan jangkitan).
“Tiga lagi kes iaitu dibawah Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang dan Shah Alam telah berjaya mendapat arahan tuduh dibawah Seksyen 27A dan Seksyen 29AA Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951 dan Seksyen 6(1) (c) Akta Imigresen 1959/1963,” ujarnya.