Polis PD tambah SJR, tutup jalan - Utusan Malaysia

Polis PD tambah SJR, tutup jalan

PENUTUPAN jalan iaitu di lampu isyarat simpang empat, Batu 1, Jalan Pantai ke Jalan By Pass (Kilometer 2.5) yang bertujuan mengawal serta mengurangkan pergerakan lalu lintas dalam daerah Port Dickson ketika tempoh 'total lockdown.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Pihak polis telah menambah beberapa sekatan jalan raya (SJR) di lokasi strategik sekitar daerah ini serta melakukan penutupan jalan bagi meningkatkan kepatuhan orang ramai sepanjang sekatan pergerakan penuh.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superitenden Aidi Sham Mohamed berkata, bagi meningkatkan penguatkuasaan, sebanyak empat SJR dengan kekuatan 100 pegawai dan anggota polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson dibantu Angkatan Tentera Malaysia telah diadakan secara berterusan bermula 1 hingga 14 Jun depan.

“Selain itu, empat SJR secara bergerak juga akan dijalankan dengan tumpuan penguatkuasaan di kawasan Telok Kemang dan kawasan-kawasan strategik lain dalam daerah Port Dickson.

“Tindakan penguatkuasaan ini akan dipertingkatkan melalui 21 pasukan Petugas Pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi memastikan pihak premis dan orang ramai mematuhi SOP yang telah ditetapkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas Aidi Sham, pihaknya juga ingin memaklumkan kepada orang ramai penutupan jalan turut dilakukan bertujuan mengawal serta mengurangkan pergerakan lalu lintas dalam daerah Port Dickson ketika tempoh ‘total lockdown’.

“Lokasi berkenaan ialah jalan di lampu isyarat simpang empat Kampung Paya ke Jalan By Pass (Kilometer 4.2) dan lampu isyarat simpang empat, Batu 1, Jalan Pantai ke Jalan By Pass (Kilometer 2.5) di kedua-dua arah.

“Penutupan jalan ini dilakukan dengan bantuan Jabatan Kerja Raya (JKR),” katanya lagi.

Dalam pada itu, Aidi Sham turut mengingatkan orang ramai supaya tidak keluar rumah melainkan urusan penting dan tidak dapat dielakkan sahaja dan sentiasa mematuhi SOP Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Polis IPD Port Dickson akan bertindak tegas atas sebarang pelanggaran SOP demi memutuskan jangkitan Covid-19.

“Orang awam juga dinasihatkan untuk menghubungi Bilik Gerakan IPD Port Dickson di talian 06-6462999 bagi sebarang pertanyaan atau kemusykilan berkaitan pelaksanaan ‘total lockdown’,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya