ALOR SETAR: Polis akan menjalankan pemantauan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) termasuk pemakaian pelitup muka di pejabat yang beroperasi pada sepanjang tempoh pelaksanaan sekatan pergerakan penuh ini.
Timbalan Ketua Polis Kedah, Datuk Mohd. Roze Shaari berkata, langkah itu bagi memastikan semua pihak mematuhi SOP yang ditetapkan dalam usaha mengekang penularan Covid-19 di negeri ini.
“Pemakaian pelitup muka di pejabat pun memang ditekankan. Tujuannya tidak lain, adalah untuk melindungi diri kita dan orang sekeliling daripada pandemik ini.
“Sebab itu, kita akan buat pemantauan bersama agensi penguatkuasaan lain di pejabat. Jadi, saya nasihatkan mereka yang berada di pejabat juga sentiasa mematuhi SOP termasuk memakai pelitup muka,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengadakan pemantauan di sekatan jalan raya (SJR) di Plaza Tol Alor Setar Utara di sini, hari ini.
Sementara itu, katanya, setakat ini, sebanyak 76 kompaun telah dikeluarkan di negeri ini atas pelbagai kesalahan sejak pelaksanaan sekatan pergerakan penuh, semalam.
“Kompaun dikeluarkan atas pelbagai kesalahan, namun, kesalahan yang paling banyak dilakukan adalah berkumpul beramai-ramai selain tidak memakai pelitup muka,” katanya.
Sementara itu, Mohd. Roze berkata, pemantauan pihaknya setakat ini mendapati kalangan rumah ibadat mematuhi SOP ditetapkan dengan menghadkan jumlah kehadiran seperti ditetapkan.
“Kita tahu terdapat kes-kes pelanggaran SOP dalam rumah ibadat di negeri lain. Oleh itu, pemantauan sentiasa dijalankan dan setakat ini Alhamdulillah, di Kedah masih tiada lagi kes sedemikian dikesan,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE