Polis cadang batal kompaun 31 pekerja tidak kemas kini MySejahtera - Utusan Malaysia

Polis cadang batal kompaun 31 pekerja tidak kemas kini MySejahtera

MIOR FARIDALATHRASH WAHID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Polis Perak akan memohon agar kompaun yang dikenakan terhadap 31 pekerja syarikat minyak dan gas serta pekerja kilang ayam di sini kelmarin kerana tidak mengemas kini status kesihatan dalam aplikasi MySejahtera dibatalkan.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, ia kerana hasil semakan Polis Daerah Manjung dengan Unit Inspektorat dan Perundangan Kementerian Kesihatan (KKM) mendapati berlaku kekeliruan terhadap kesalahan tersebut.

“Pihak KKM mengesahkan bahawa pemilik aplikasi MySejahtera perlu mengemas kini status kesihatan apabila terdapat gejala, mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara, mempunyai hubungan atau menjadi kontak rapat serta telah disahkan positif dijangkiti Covid-19 sahaja.

“Oleh itu, Ketua Polis Daerah Manjung akan merujuk kepada Pejabat Kesihatan Daerah Manjung untuk memaklumkan kepada pihak Jabatan Peguam Negara bagi tujuan pembatalan kompaun tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kelmarin, seramai 29 pekerja syarikat berkaitan minyak dan gas serta dua pekerja kilang ayam dikompaun masing-masing antara RM1,500 dan RM2,000 kerana tidak mengemas kini status kesihatan mereka dalam portal MySejahtera ketika memasuki tempat kerja.

Kompaun itu dikeluarkan dalam operasi bersepadu pematuhan SOP PKP disertai Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung bersama beberapa agensi termasuk Jabatan Kesihatan Daerah Manjung, Majlis Perbandaran Manjung dan Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Manjung.

Justeru, Mior Faridalathrash menasihatkan orang ramai tidak khuatir dan bimbang terhadap tahap penguatkuasaan yang dilakukan pihak polis dalam melaksanakan tanggungjawab bagi memutuskan rantaian Covid-19 seterusnya memastikan keselamatan di negara ini sentiasa terpelihara.

Jelasnya, setiap tindakan yang diambil oleh pihak polis akan dirujuk kembali kepada peraturan-peraturan yang dikuatkuasakan dari masa ke semasa.

“Polis Perak ingin menasihatkan masyarakat di negeri ini untuk sentiasa bersabar serta memberi kerjasama penuh kepada semua agensi yang terlibat sepanjang tempoh pelaksanaan PKP ini.

“Kami juga tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas kepada masyarakat yang melanggar undang-undang dan SOP yang sedang berkuatkuasa,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya