PUTRAJAYA: Perikatan Nasional (PN) tidak boleh disifatkan sebagai kerajaan yang gagal tatkala negara berdepan dengan pandemik Covid-19 yang bukan sedikit cabarannya.
Pensyarah Kanan Kolej Undang-Undang Pengajian Kerajaan dan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Kamarul Zaman Yusoff berkata, ini kerana banyak negara lain juga menghadapi masalah yang sama, termasuk di Jepun yang kerajaannya berdepan dengan kemarahan rakyat.
Beliau berkata, apa yang menariknya, perkembangan mutakhir di negara itu menunjukkan ahli-ahli Parlimen mereka kini mahu mencontohi Malaysia dalam melaksanakan darurat.
“Disebabkan Perlembagaan negara Jepun tidak membolehkan darurat dilaksanakan maka kini perbincangan hangat sedang berlangsung untuk meminda Perlembagaan.
“Ini sekali gus menjadi petanda bahawa apa yang dilakukan oleh kerajaan kita adalah sesuatu yang betul sehinggakan ia juga mahu dilakukan oleh negara lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kamarul Zaman berkata, masalah di negara ini bahkan kelihatan lebih teruk kerana kekurangan disiplin dalam kalangan rakyat jelata yang ramai gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan melaksanakan isolasi kendiri.
Dalam keadaan sebegini, katanya, maka sudah pastilah kalau Pakatan Harapan (PH) atau mana-mana pihak sekali pun yang menjadi kerajaan, akan tetap berdepan dengan masalah sama.
Beliau menjelaskan, rakyat dapat melihat betapa pihak kerajaan sentiasa berusaha keras dalam membuat perancangan untuk mengimbangi kelangsungan kehidupan dan ekonomi rakyat.
Pada masa sama, katanya, kerajaan sentiasa bersikap responsif terhadap desakan dan tuntutan rakyat jelata, termasuk untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan mempercepatkan pemberian vaksinasi.
“Sejak kebelakangan ini, pembangkang semakin kuat memainkan sentimen tidak wajar dengan tanda pagar #kerajaangagal dalam usaha mereka untuk memperkecilkan kredibiliti PN.
“Sedangkan hakikat sebenarnya ialah emosi kemarahan ini sepatutnya perlu ditujukan kepada rakyat jelata yang gagal mematuhi SOP hingga mewujudkan pelbagai kluster,” katanya.
Menurut beliau, adalah amat senang untuk menuding jari kepada satu pihak berbanding kepada rakyat jelata yang bertaburan di merata-rata, sebab itulah kerajaan dijadikan kambing hitam.
Justeru, katanya, tanda pagar #kerajaangagal ini adalah bermotifkan politik sempit semata-mata sedangkan jika dibuat penelitian yang rasional dan objektif prestasi kerajaan tidaklah seteruk itu.
Beliau turut memberitahu, antara yang paling cemerlang ialah Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang saban hari muncul di kaca televisyen sebagai jurucakap kerajaan bagi memastikan kes-kes Covid-19 terkawal.
“Satu perkara yang boleh dipuji mengenai beliau ialah kesabaran yang beliau tunjukkan ketika menjadi sasaran pengguna media sosial dalam melampiaskan kemarahan,” katanya.
Sebelum ini, nama Ismail Sabri juga disebut-sebut akan dilantik ke jawatan Timbalan Perdana Menteri sebagai usaha mengendurkan protes dari UMNO, tetapi sehingga ini belum menjadi realiti.- UTUSAN ONLINE