PETALING JAYA: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berbangga dengan kejayaan pelumba negara, Syarifuddin Azman kerana mengharumkan nama Malaysia selepas muncul juara saingan CEV Moto3 Remaja Dunia di Litar Catalunya, Sepanyol, semalam.
Kata Muhyiddin, hanya keazaman, ketekunan, kesungguhan dan keberanian sahaja yang mampu meletakkan seorang pelumba untuk bergelar juara.
“Saya cukup berbangga dan gembira apabila dimaklumkan anak muda Malaysia, Syarifuddin berjaya menggegar Litar Catalunya apabila muncul juara saingan CEV Moto3 Remaja Dunia di Barcelona, Sepanyol, semalam.
“Tahniah Syarifuddin dan seluruh ahli pasukan atas aksi dan kejayaan yang membanggakan negara ini. Teruskan usaha untuk kejayaan yang lebih gemilang selepas ini. Tahniah Damok,” katanya dalam hantaran Facebook beliau.
Syarifuddin berjaya menggegar Litar Catalunya apabila muncul juara saingan CEV Moto3 Remaja Dunia di Barcelona.
Kejayaan itu sekali gus menyaksikan lagu ‘Negaraku’ berkumandang di litar itu menerusi kemenangan yang dihadiahkan oleh Syarifuddin.
Beliau yang juga dikenali sebagai Damok yang bermula di petak ke-10 menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 29 minit 32.553 saat.
Tempat kedua milik pelumba tuan rumah, David Munoz Rodriguez dari pasukan Avatel-Cardoso Racing dengan catatan masa 29:32.715 manakala Jose Antonio Rueda Ruiz juga dari Sepanyol di tempat ketiga (29.32.825s). -UTUSAN ONLINE