PKRC Permai khas untuk wanita, ibu mengandung - Utusan Malaysia

PKRC Permai khas untuk wanita, ibu mengandung

BANGUNAN Olive B yang dijadikan PKRC ketiga di negeri ini di Hospital Permai, Johor Bahru di Johor. -UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Olive B yang dikhususkan untuk pesakit wanita, ibu mengandung dan kanak-kanak di bawah usia 12 tahun mula beroperasi di Hospital Permai, di sini.

PKRC awam kedua dikendalikan Kementerian Kesihatan selepas PKRC Pasir Gudang itu juga merangkumi 40 bilik yang berada di bangunan lima tingkat selain dilengkapi ruangan bagi menjalankan kegiatan riadah dan rekreasi, tempat rehat dan santai, ruang solat serta sebuah dewan yang boleh menempatkan 60 katil.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Johor Bahru, Datuk Abdul Rahman Salleh berkata, PKRC itu mampu menampung sehingga seramai 585 pesakit tahap 1 dan 2 bagi kumpulan sasaran berkenaan pada satu-satu masa.

Setakat ini, ujar beliau, terdapat seramai lapan pesakit yang disahkan positif Covid-19 telah mendaftar masuk untuk dikuarantin di PKRC tersebut.

“Kemasukan pesakit di PKRC Olive B ini adalah bergantung kepada penilaian dan saringan daripada 12 Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di seluruh daerah di negeri Johor. 

“Pesakit wanita, ibu mengandung dan kanak-kanak di PKRC Pasir Gudang tidak akan dipindahkan ke Olive B yang hanya menerima pesakit baharu sahaja,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Abdul Rahman berkata, PKRC itu dibuka sebagai persediaan awal berdasarkan situasi pertambahan kes positif Covid-19 serta kapasiti penggunaan katil yang tinggi di PKRC Pasir Gudang. 

“Bangunan Olive B itu tidak digunakan sejak 2017 tetapi masih berada dalam keadaan baik bagi menempatkan pesakit tanpa gejala dan bergejala ringan. 

“Dianggarkan seramai 100 petugas daripada pelbagai agensi kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) termasuk badan penguatkuasa bagi pengoperasian PKRC selama 24 jam ini,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, JPBD Johor Bahru kini sedang meninjau lokasi sesuai untuk dijadikan PKRC awam ketiga di bandar raya ini sekiranya trend jangkitan harian terus meningkat di negeri ini.

“Setakat ini, kita mempunyai dua PKRC awam yang dikendalikan Kementerian Kesihatan, manakala PKRC DB di Iskandar Puteri dikendalikan pihak swasta. Keadaan sekarang stabil namun kita perlu bersiap siaga mencari lokasi PKRC awam baharu di Johor jika peningkatan kes jangkitan terus meningkat,” katanya.

Tambahnya, sehingga semalam dianggarkan seramai 726 pesakit yang terdiri daripada 400 pesakit lelaki dan 326 pesakit wanita sedang dikuarantin di PKRC Pasir Gudang yang mempunyai kapasiti 1,057 katil. -UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya