ALOR SETAR: Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Dewan Al-Farabi, Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri Kedah di sini akan mula menerima kemasukan pesakit Covid-19 kategori tiga dan empat di negeri ini, esok.
Pengarah Kesihatan Negeri, Dr. Mohd. Fikri Ujang berkata, pembukaan PKRC itu bakal membantu memberi keselesaan kepada warga emas yang sebelum ini ditempatkan di dua PKRC iaitu di Kulim dan Sungai Petani.
Menurutnya, PKRC di Kulim dan Sungai Petani sebelum ini memerlukan golongan warga emas menaiki tangga dan keadaan itu sedikit sebanyak memberi kesukaran kepada mereka.
“Jadi, bermula esok, kita akan buat penilaian untuk menentukan pesakit kategori tiga dan empat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) yang boleh ditempatkan di PKRC ini.
“Selain itu, beberapa pesakit warga emas yang berada di PKRC Kulim dan Sungai Petani juga akan dipindahkan ke sini,’ katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengiringi Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md. Nor mengadakan lawatan ke PKRC tersebut di sini, hari ini.
PKRC tersebut mampu menempatkan sejumlah 40 katil pesakit dan dilengkapi dengan pelbagai peralatan perubatan termasuk tabung oksigen, mesin x-ray bergerak serta pakar perubatan berkelayakan yang mampu memberi rawatan terbaik kepada pesakit.
Sementara itu Muhammad Sanusi pula memberitahu, Dewan Wawasan di Jitra dijangka memerlukan masa hingga sebulan setengah untuk dibaiki dan dinaik taraf bagi membolehkannya dijadikan sebagai PKRC.
“Selan itu dalam usaha untuk mempercepatkan pemberian vaksin kepada masyarakat, kita juga sedang mengadakan perbincangan dengan pihak pengurusan Hotel Raia bagi menjadikannya sebagai Pusat Pemberian Vaksin (PPV)” katanya. -UTUSAN ONLINE