KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad keliru dengan hantaran status Facebook yang dimuat naik Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkenaan ‘tutup pintu depan’ yang mengundang spekulasi ramai.
Ini kerana, Dr. Mahathir sendiri tidak dapat mengenal pasti mengenai pintu yang dimaksudkan Ahli Parlimen Bera berkenaan.
“Saya nak tanya juga, depan ni belakangkah atau belakang ni depan? Yang mana satu? Kerana…tak tahulah ni. Kerana kenyataan mereka ini, mereka daripada pintu belakang. Kalau pintu depan tertutup, pintu belakang masih terbukalah kot?
“Jadi, kalau terbuka, bolehlah ada rundingan ke apa-apa. Jadi, kita tak boleh nak kira dengan mereka ini kerana mereka tak ikut aturan-aturan.
“Kita nak pergi rumah orang, kita masuk pintu depanlah. Nabi kata, kalau nak masuk rumah orang, kena minta izin dulu. Tapi, mereka masuk pintu belakang, tak tanya, itulah yang jadi masalah dengan mereka ni,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Eksekutif Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) hari ini.
Semalam, Ismail Sabri memuat naik status Facebook berbunyi: “Saya dah tutup pintu depan, tapi…” yang mengundang persepsi banyak pihak.
Namun, kata beliau, tiada sebarang maksud tersirat di sebalik kenyataan tersebut melainkan mahu pulang selepas selesai waktu kerja.
Pengguna media sosial pula menganggap hantaran status itu berkaitan banyak kilang yang dibenarkan beroperasi sepanjang pelaksanaan sekatan pergerakan penuh yang berkuatkuasa sehingga 14 Jun ini.
Sedangkan, perolehan surat kebenaran beroperasi hendaklah melalui Sistem Pengurusan Pintar Covid-19 (CIMS) 3.0 Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) yang diterajui Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Terkini, Mohamed Azmin pula menggesa mana-mana pihak agar tidak membuat spekulasi tentang kenyataan itu. -UTUSAN ONLINE