Pinjam telefon bapa untuk PdPR, pelajar autisme raih 8A - Utusan Malaysia

Pinjam telefon bapa untuk PdPR, pelajar autisme raih 8A

ABDUL Hakim Kamarozaman bersama bapanya, Kamarozaman Kassim dan ibunya, Suriati Kassim ketika menyemak keputusan SPM 2020 secara atas talian di Pengkalan Pegoh, Ipoh hari ini. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Keazaman untuk mengubah kehidupan keluarga menjadi inspirasi kepada pelajar autisme, Abdul Hakim Kamarozaman untuk menghadiahkan kejayaan buat ibu bapa apabila meraih 8A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 yang diumumkan hari ini.

Abdul Hakim, yang menghadapi masalah pertuturan mengakui keputusan 8A, 1B dan 1C dalam 10 mata pelajaran yang diambilnya bukan mudah kerana terpaksa belajar secara  Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) ketika membuat persiapan untuk menghadapi peperiksaan itu tahun lalu.

Menurutnya, sesi PdPR sangat mencabar bagi pelajar sepertinya yang sukar untuk memahami pembelajaran secara maya berbanding bersemuka dengan guru selain masalah kesihatan.

“Hakikatnya PdPR sukar buat pelajar seperti saya kerana perlu menunggu bapa yang bekerja di sebuah jabatan kerajaan pulang kerja sebelum dapat menggunakan telefon pintar kerana ketiadaan gajet itu di rumah.

“Namun bapa membelikan sebuah telefon untuk saya walaupun perbelanjaan keluarga terhad, manakala ibu pula suri rumah.

“Saya bersyukur dengan keputusan SPM yang telah diperoleh, ia bukan usaha saya sahaja tetapi juga dibimbing guru-guru,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Anderson itu berkata,  dia juga perlu membahagikan masa antara pelajaran dan urusan keluarga kerana ibu bapanya mempunyai masalah kesihatan manakala seorang daripada enam adiknya pula merupakan orang kurang upaya (OKU).

“Saya sedar SPM dapat mengubah kehidupan keluarga saya ke arah yang lebih baik, jadi saya berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai keputusan yang baik,” katanya.- UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya