PUTRAJAYA: Pengamal perubatan swasta yang masih berminat untuk berkhidmat di Pusat Saringan Covid-19 dan Pusat Pemberian Vaksinasi (PPV) mengikut lokaliti berhampiran di seluruh negara masih boleh mendaftar kerana kerajaan masih membuka pendaftarannya untuk golongan tersebut.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, ia selaras dengan usaha untuk memperluaskan saringan dan mempercepatkan pemberian vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).
Kata beliau, pendaftaran masih dibuka dan boleh dilayari menerusi Portal Kementerian Kesihatan: http://www.moh.gov.my – Iklan Pembelian Perkhidmatan Doktor Pakar Swasta dan Doktor Swasta Secara Kontrak (Contract For Service) Dalam Tempoh Penularan Wabak Covid-19.
“Penyertaan ini selaras dengan pendekatan whole of government, whole of society dan diharapkan akan mempercepatkan lagi usaha kerajaan untuk memastikan pencapaian status imuniti kelompok dan seterusnya berjaya melandaikan keluk penularan pandemik di negara ini, ” katanya dalam kenyataan hari ini.
Adham pada masa sama menghargai komitmen dan sumbangan pelbagai pihak dalam usaha menangani pandemik.
Katanya, ini termasuk penglibatan pengamal perubatan swasta turut menyumbang perkhidmatan mereka dengan cara berkhidmat sebagai sukarelawan menyampaikan perkhidmatan di fasiliti kesihatan.
Beliau menjelaskan, kerajaan menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) pada Mac tahun lalu bersetuju untuk menawarkan bayaran perkhidmatan kepada pengamal perubatan swasta sebagai penghargaan bagi sumbangan diberikan.
Sebelum ini, ProtectHealth Corporation Sdn Bhd (ProtectHealth), yang dilantik sebagai badan pelaksana pembabitan pengamal perubatan swasta dalam PICK memaklumkan, lebih 2,600 pengamal perubatan swasta sudah berdaftar sejak 8 Mac lalu untuk terbabit secara langsung dalam program itu.
Daripada jumlah itu, hampir 800 sudah menyatakan kesediaan untuk menjalankan vaksinasi.
Pihak ProtectHealth turut menjemput semua 9,200 fasiliti kesihatan swasta berdaftar dengan Kementerian Kesihatan untuk bersama-sama terbabit dalam PICK dan meningkatkan kapasiti dos sehari bagi mencapai imuniti kelompok dengan segera.- UTUSAN ONLINE