PGA rampas 931kg daun ketum dari Pendang - Utusan Malaysia

PGA rampas 931kg daun ketum dari Pendang

LORI yang digunakan sindiket pengedaran dan pemprosesan daun ketum dari utara tanah air yang dirampas Batalion 5 PGA di Jalan Banjaran 4, Tampoi, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kegiatan sindiket pengedaran daun ketum di negeri ini yang dipercayai didalangi lelaki tempatan dikenali sebagai Pak Din yang menetap di Kangar, Perlis lumpuh apabila stor pemprosesan bahan itu di Jalan Banjaran 4, Tampoi, di sini diserbu Batalion 5 Pasukan Gerakan Am (PGA), semalam.

Operasi yang dijalankan pada pukul 9.45 pagi itu merekodkan rampasan daun ketum terbesar di negeri ini pada tahun ini dengan sebanyak 931 kilogram (kg) daun ketum dirampas yang dianggarkan bernilai RM76,880.

Daun ketum itu dikatakan diperoleh dari kawasan Pendang, Kedah dan dipasarkan di selatan tanah air dengan menggunakan lori bagi menghantar bekalan bermula dari Kuala Lumpur hingga Johor Bahru.

Pegawai Pemerintah Batalion 5 PGA, Superintenden Dimin Awang berkata, dalam operasi tersebut, pihaknya turut menahan seramai lima lelaki tempatan berusia lingkungan 29 hingga 54 tahun.

“Dalam serbuan itu, kami merampas 25 bungkusan guni berwarna putih dan kuning berisi daun hijau dipercayai daun ketum dengan anggaran berat keseluruhan kira-kira 675kg dan 22 bungkusan plastik lutsinar berisi daun warna hijau dipercayai daun ketum dengan anggaran berat kira-kira 256kg.

“Batalion 5 PGA turut menemukan 80 botol lutsinar 1.5 liter dipercayai berisi air ketum yang telah dimasak dan diletakkan dalam empat tong ais di premis tersebut,” katanya di sini hari ini.

Dimin berkata, siasatan awal mendapati kesemua suspek yang ditahan menjalankan aktiviti pengedaran dan pemprosesan daun ketum sejak setahun yang lalu dan dengan tangkapan serta rampasan itu telah berjaya melumpuhkan sindiket pengedaran air ketum di sekitar Johor Bahru dan Kulai.

Beliau berkata, turut dirampas dalam serbuan berkenaan adalah dua buah periuk, dua tong gas dan dua set dapur serta empat buah peti ais bagi menyimpan air ketum, selain menyita sebuah lori jenama Hino yang digunakan oleh sindiket berkenaan dengan nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM270,780.

Kesemua tangkapan dan rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya