KUALA TERENGGANU: Golongan petani, penternak dan nelayan di negeri ini yang dijangkiti Covid-19 bakal menerima bantuan one-off sebanyak RM500.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr. Azman Ibrahim berkata, sagu hati berkenaan bertujuan meringankan beban mereka yang tidak dapat keluar mencari rezeki berikutan menjalani rawatan mahu pun kuarantin.
Katanya, sehingga kini, seramai 60 warga tani daripada ketiga-tiga sektor pertanian, penternakan dan perikanan di seluruh negeri disahkan positif Covid-19.
“Bantuan akan disalurkan dengan kadar segera dan jabatan-jabatan terlibat sudah mengumpul data lengkap di setiap daerah bagi memastikan tiada yang tercicir atau terpinggir.
“Melalui insentif ini, diharap dapat memberikan suntikan motivasi kepada warga tani untuk terus berbakti sekali gus menyemarakkan lagi Tahun Pertanian Terengganu 2021,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Azman berkata, kerajaan negeri mengambil serius perkara itu kerana pertanian merupakan sektor yang diceburi majoriti rakyat Terengganu. -UTUSAN ONLINE