PETALING JAYA: Pelaksanaan Mesyuarat Agung Tahunan bagi semua pertubuhan berdaftar hendaklah ditangguhkan selaras dengan arahan penutupan penuh sektor sosial dalam tempoh pelaksanaan sekatan pergerakan penuh.
Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) dalam satu kenyataan berkata, bagaimanapun mesyuarat boleh dilakukan mengikut prosedur operasi standard (SOP) dan memenuhi syarat asas pelaksanaan Mesyuarat Agung Tahunan seperti yang termaktub dalam perlembagaan pertubuhan masing-masing.
Katanya, semua pertubuhan berdaftar juga hendaklah mengemukakan permohonan bertulis bagi tujuan penangguhan pelaksanaan Mesyuarat Agung Tahunan kepada JPPM dengan mengemukakan cadangan tarikh pelaksanaan dan SOP tambahan sebaik sahaja tempoh PKP berakhir.
“Semua pertubuhan hendaklah mengemukakan penyata tahunan kepada JPPM dalam tempoh 60 hari selepas Mesyuarat Agung Tahunan diadakan selaras dengan peruntukan Seksyen 14(1), Akta Pertubuhan 1966 [Akta 335],” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, JPPM berkata, pertubuhan berdaftar hendaklah melaksanakan Mesyuarat Agung Tahun bagi memastikan pengurusan pertubuhan dapat dilaksanakan dengan baik selaras dengan kehendak perlembagaan pertubuhan dan Akta 335. – UTUSAN ONLINE