Persatuan peguam gesa MKN benarkan operasi - Utusan Malaysia

Persatuan peguam gesa MKN benarkan operasi

MUSA AWANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) menggesa Majlis Keselamatan Negara (MKN) membenarkan Mahkamah Syariah seluruh negara dan firma peguam syarie beroperasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 ini.

Menurut Presidennya, Musa Awang berkata, gesaan tersebut adalah berdasarkan bukan sahaja kes pernikahan, perceraian dan rujuk (NCR) perlu diselesaikan, malah, beberapa isu lain yang menyumbang ke arah penceraian.

Jelasnya, masalah kewangan menjadi antara penyebab utama berlakunya perceraian kerana ramai suami hilang atau kurang punca pendapatan disebabkan PKP.

“Kehilangan atau kekurangan pendapatan mencetuskan masalah kewangan dalam keluarga, lantas menyebabkan konflik dalam rumahtangga dan berlaku perceraian.

“Apabila berlaku perceraian dalam tempoh PKP, sepatutnya mereka dapat merujuk permasalahan mereka kepada mahkamah syariah atau peguam syarie, jika sekiranya kedua-dua institusi ini dibenarkan beroperasi.

“Rujukan dan tindakan kedua-dua institusi ini penting supaya permasalahan yang berlaku tersebut dapat diselesaikan dalam tempoh sepatutnya dan sewajarnya, supaya tidak timbul rentetan masalah-masalah yang lain,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jelas Musa lagi, kes pertikaian seperti keganasan rumahtangga, permohonan perintah injunksi tegahan terhadap gangguan terhadap fizikal (tubuh badan), injunksi tegahan terhadap harta, perebutan jagaan dan lawatan anak-anak, perintah interim jagaan anak turut di bawah tugas peguam syarie yang harus diselesaikan.

Untuk rekod, media sebelum ini melaporkan kes perceraian berlaku peningkatan luar biasa semasa PKP dimana sebanyak 6,569 kes penceraian didaftarkan sepanjang tempoh tiga bulan pertama PKP dari 18 Mac hingga 18 Jun 2020.

Begitu juga dengan kes berpunca daripada desakan ekonomi dan tekanan hidup sehingga ada yang bertindak mencederakan pasangan dimana angka mencatatkan sebanyak 902 kes dilaporkan sepanjang tempoh Januari hingga April tahun 2021 dengan peningkatan didorong pelbagai faktor.

“Apabila berlaku keganasan dalam rumahtangga, mangsa boleh merujuk perkara tersebut kepada peguam syarie yang akan menasihatkan mangsa untuk membuat laporan polis, mendapatkan perintah injunksi interim tegahan gangguan daripada mahkamah syariah atau Interim Protection Order (IPO) (daripada Mahkamah Majistret). Lanjutan daripada itu juga biasanya akan berlaku pertikaian susulan seperti pengasingan pasangan, tuntutan perceraian, perebutan hak jagaan anak-anak.

“Statistik ini menunjukkan isu keganasan rumah tangga memerlukan intervensi dan kerjasama pelbagai pihak, termasuk membenarkan Mahkamah Syariah seluruh negara beroperasi dan membenarkan firma Peguam Syarie beroperasi sepanjang PKP 3.0,” ujarnya lagi.

Secara keseluruhan, Musa berkata, firma-firma guaman syariah (peguam syarie) bukan sahaja berperanan mewakili masyarakat membuat tuntutan di mahkamah syariah, malah, mereka juga berperanan memberikan khidmat konsultasi kepada masyarakat awam yang mencari alternatif untuk meluahkan permasalahan dan tekanan perasaan akibat masalah perkahwinan yang berlarutan sebelum dan semasa PKP 3.0.

“Sebahagian masyarakat awam telah melantik peguam syarie untuk membuat tuntutan mereka sebelum PKP 3.0. Disebabkan mahkamah syariah dan firma guaman syariah tidak dibenarkan beroperasi semasa PKP 3.0, maka tuntutan-tuntutan ini tidak dapat dibawa ke muka pengadilan.

“Tuntutan-tuntutan tersebut kadangkala perlu disegerakan atau ia berkaitan antara satu sama seperti keganasan rumah tangga, perceraian (cerai luar mahkamah, cerai Hakam, fasakh atau taklik), kes pembahagian harta pusaka (faraidh) akibat berlaku kematian disebabkan COVID-19 atau punca-punca lain, pelupusan harta si mati melalui perintah lelongan, harta sepencarian dan tuntutan keberhutangan dengan pihak bank, tuntutan yang melibatkan tempoh had masa dan sebagainya,” jelasnya.

Dalam masa yang sama, Musa turut berkata, dalam tempoh PKP, perbelanjaan operasi firma peguam syarie masih perlu dijelaskan seperti sewa pejabat, bil elektrik, unifi pejabat, gaji peguam, gaji pekerja, caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan sebagainya.

“Kebanyakan firma guaman syariah menyewa di premis milik individu atau syarikat tertentu yang tidak mendapat pengecualian atau penangguhan bayaran sewa seperti mana di premis milik kerajaan atau milik badan kerajaan. Majikan terpaksa menanggung bayaran gaji peguam atau gaji kakitangan walaupun Mahkamah Syariah tidak beroperasi dan kes-kes tidak berjalan seperti biasa.

“Sekiranya operasi firma-firma peguam syarie tidak dibenarkan, risiko untuk pemberhentian pekerja atau menawarkan pilihan cuti tanpa gaji kepada kakitangan adalah tinggi kerana seorang majikan tidak akan mampu untuk menanggungnya lebih daripada tempoh tersebut, disebabkan tiada pendapatan diperoleh sepanjang tempoh PKP,” katanya.

Jelas Musa, sebagai sebuah persatuan yang menaungi lebih 4500 orang peguam syarie, pihaknya amat prihatin dengan keadaan yang menimpa ahli-ahli Persatuan dan keseluruhan Peguam Syarie di negara ini, termasuk rungutan daripada masyarakat awam berhubung penangguhan prosiding kes. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya