PONTIAN: Kementerian Kesihatan diminta membuka sebuah Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Benut bagi memudahkan penduduk kawasan tersebut menerima suntikan vaksin Covid-19.
Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, pihaknya mendapati PPV di Dewan Jubli Intan berlaku kesesakan berikutan semua penerima tertumpu ke pusat tersebut sejak ia dibuka.
Kata beliau, pembukaan sebuah lagi PPV di Dewan Tunku Ibrahim Ismail di Pekan Nanas mulai esok amat bertepatan kerana dapat memudahkan orang ramai di kawasan tersebut menerima suntikan.
“Saya berharap kementerian dapat menimbang cadangan supaya ditambah sebuah lagi PPV di Daerah Pontian khususnya bagi penduduk di kawasan Benut dan sekitarnya, “ katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kemeja-T bagi kegunaan petugas di PPV Dewan Jubli Intan, di sini, hari ini.
Turut hadir, Pegawai Penyelaras PPV Daerah Pontian, Dr. Masrina Sabari, Ketua PPV Dewan Jubli Intan Pontian, Dr. Shuhaiza Eliana Samsudin dan Pengerusi Ahli Lembaga Pelawat Hospital Pontian. Datuk Mohd. Jahis Othman.
Sehingga semalam, seramai 10,342 orang atau 8.01 peratus penduduk daerah ini telah menerima suntikan dos pertama dan kedua daripada keseluruhan penduduk yang berumur 18 tahun ke atas iaitu 129,000 orang.
Tambah Ahmad, dengan adanya PPV di Benut kelak akan memendekkan perjalanan penerima vaksin yang agak jauh untuk ke bandar Pontian selain mengurangkan kos pengangkutan dan sebagainya.
“Ada penduduk yang tinggal di kampung-kampung bersempadan dengan daerah Kluang dan Batu Pahat membuat aduan kepada saya kerana mereka terpaksa bergerak awal pagi untuk ke Pontian.
“Diharap faktor kedudukan dan masa perjalanan penerima akan diberikan pertimbangan oleh Kementerian Kesihatan supaya lebih ramai berasa selesa untuk datang ke PPV pada masa akan datang,” ujarnya.
Dalam pada itu, Ahmad memberitahu, Pusat Khidmat Parlimen Pontian menyediakan perkhidmatan pendaftaran vaksin sebagaimana yang tertera dalam akaun rasmi Facebook Parlimen Pontian.
Selain itu, pihaknya juga menyediakan perkhidmatan pengangkutan ke PPV kepada mereka yang menghadapi masalah untuk ke pusat tersebut dengan menghubungi talian 019-456 2693 atau melalui aplikasi WhatsApp.
“Empat orang pegawai di Pusat Khidmat Parlimen Pontian akan membantu orang ramai yang memerlukan pertolongan supaya lebih ramai penduduk Pontian mendaftar sebagai penerima suntikan vaksin,” ujarnya.- UTUSAN ONLINE