Perlu ada inisiatif besar baharu selain PdPR - Utusan Malaysia

Perlu ada inisiatif besar baharu selain PdPR

JALALUDDIN ALIAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan ditegur kerana belum lagi mempunyai sebarang agenda inisiatif dalam mendepani cabaran penutupan sekolah sepanjang wabak Covid-19.

Perkara itu disuarakan Pengerusi Jawatankuasa Khas Pendidikan Parlimen Malaysia, Datuk Seri Jalaluddin Alias menerusi kenyataan dalam hantaran akaun sosial Facebook miliknya.

“Orang ramai hanya dimaklumkan mengenai keputusan pihak Kementerian Pendidikan berkaitan bidang pendidikan negara, namun perlu ada inisiatif baharu yang besar,” katanya.

Beliau merujuk sidang akhbar Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin yang disiarkan stesen televisyen tempatan secara langsung hari ini untuk memaklumkan beberapa isu.

Antaranya sesi Pembelajaran dan Pengajaran di Rumah (PdPR) yang disambung lagi selama 25 hari selepas cuti penggal tamat minggu depan sehingga cuti pertengahan penggal kelak.

Mengulas lebih lanjut, Jalaluddin namun memuji usaha pihak kementerian yang melanjutkan PdPR sebagai perlu, tepat dan pilihan selamat dalam menyusun tingkat kepentingan insan.

“Ketika negara kita sedang catat ribuan kes positif harian, kita semua seharusnya cerdik buat pertimbangan dan keputusan agar mendahulukan nyawa berbanding perkara lain,” katanya.

Langkah kementerian masih melaksanakan PdPR ujarnya, sejajar prinsip Islam iaitu Maqasid Syariah yang menggariskan kepentingan pemeliharaan nyawa sebagai lebih diutamakan.

Bagaimanapun jelasnya, kementerian diseru memperkasakan TV Pendidikan menerusi tiga saluran sedia ada selain memastikan kaedahnya meskipun santai tetapi matlamatnya sampai.

Begitu juga isu kelewatan pengagihan komputer riba melalui Inisiatif Cerdik – Projek Rintis Peranti yang dijanjikan oleh pihak kerajaan kepada puluhan ribu murid daripada keluarga miskin.

“Sebagai wakil rakyat, saya ingin terus menuntut hal lebih 100,000 murid berkenaan agar perlu disegerakan pemerolehan peranti selain kelemahan liputan akses Internet,” kata beliau.

Justeru, Ahli Parlimen Barisan Nasional Jelebu itu juga tertarik dengan soalan dari wartawan Utusan Malaysia, Maisarah Sheikh Rahim mengenai keberkesanan PdPR pada masa ini.

Beliau meminta agar pihak kementerian itu dapat mengeluarkan pelaporan lengkap status PdPR yang meliputi kejayaan, kekangan atau kelemahan serta cadangan penambahbaikan.

Menyentuh isu program imunisasi Covid-19 terhadap guru di bawah kementerian itu, bilangan hanya 70,000 orang pendidik sahaja sudah divaksin disifatkan sebagai amat tidak cukup.

“Ketika ini terdapat hampir 500,000 guru di seluruh negara, tetapi yang sudah menerima paling kurang satu dos pun amat kecil dan usaha perlu disebarluaskan lagi,” tegas Jalaludin.- UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya