Perkampungan atas air perlu disusun semula - Utusan Malaysia

Perkampungan atas air perlu disusun semula

BUNG MOKTAR (tiga kanan) bersama pimpinan UMNO Sabah yang lain menyampaikan sumbangan kepada salah seorang mangsa kebakaran Kampung Tanjung Aru di Kota Kinabalu, Sabah hari ini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri merancang untuk menyusun semula perkampungan atas air di seluruh Sabah agar lebih tersusun dan lengkap dengan kemudahan asas.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, penyusuan semula ini penting bagi memastikan kedudukan rumah di atas air lebih teratur dan selamat untuk diduduki.

Usaha ini perlu dilihat secara menyeluruh termasuk pemilikan tanah atau hak persempadanan, kebenaran dan kawalan pembangunan, kewujudan kemudahan asas seperti bekalan elektrik dan air serta aspek keselamatan.

“Penyusunan semula ini akan mengubah taraf perkampungan atas air daripada kawasan setinggan kepada perkampungan yang sah.

“Atas sebab itu, perancangan ini akan melibatkan agensi seperti Jabatan Perancangan Bandar dan Wilayah, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta agensi lain yang berkaitan,” katanya semasa mengetuai rombongan UMNO Sabah melawat tapak kebakaran perkampungan atas air di Tanjung Aru hari ini.

Beliau yang juga Menteri Kerja Raya negeri berkata, penyusunan semula perkampungan atas air ini penting bagi memastikan kemudahan seperti pili bomba dapat disediakan agar lebih mudah pemadaman dilakukan sekiranya berlaku kejadian kebakaran.

Ketika ini, kedudukan rumah yang begitu rapat menyebabkan api merebak dengan begitu pantas.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah itu berkata, sudah tiba masanya satu pendekatan yang holistik diambil bagi memastikan tragedi kebakaran perkampungan atas air tidak berlaku secara berterusan.

Dalam kejadian 25 Mei lalu, sebanyak 33 buah rumah atas air di Tanjung Aru musnah dalam kebakaran yang berlaku kira-kira pukul 12.40 malam.

Bung Moktar turut menyampaikan bantuan kepada mangsa-mangsa kebakaran. Beliau turut meminta semua mangsa bersabar dan menasihatkan penduduk tidak terburu-buru untuk mendirikan kediaman baharu.

Langkah ini bagi memastikan penyusunan semula rumah-rumah di kawasan itu akan dapat dilakukan secara teratur.

“Kita bersimpati dan memahami musibah yang menimpa mereka tapi saya berharap mereka akan bersabar bagi membolehkan kerajaan melalui DBKK dan agensi berkaitan dapat merangka penyurusan semula kedudukan rumah di kawasan ini agar lebih teratur dan tersusun,” katanya.- UTUSAN ONLINE 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya