Perbincangan khas: Rakyat mahu keputusan terbaik - Utusan Malaysia

Perbincangan khas: Rakyat mahu keputusan terbaik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Harapan rakyat kini terletak kepada kebijaksanaan Raja-Raja Melayu dalam menentukan keputusan terbaik demi kepentingan rakyat dan negara ketika berdepan cabaran pandemik Covid-19.

Mereka juga berharap Parlimen dapat dibuka semula bagi membincangkan banyak isu semasa.

Di PERLIS, seorang peniaga, Nor Irwan Kamis,39, berkata, Persidangan Khas Raja-Raja Melayu esok sangat dinantikan rakyat selepas ramai sudah mula bosan dengan suasana politik yang tidak menentu ketika ini.

Katanya, kebanyakan rakyat khususnya golongan yang memerlukan menempuh pelbagai dugaan seperti hilang punca pendapatan sepanjang tempoh pandemik Covid-19 yang entah bila akan berakhir.

“Apa yang penting, kami harap satu keputusan yang terbaik dapat dibuat demi kepentingan rakyat di negara ini khususnya daripada aspek kesinambungan hidup rakyat yang terkesan,” katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.

Juruteknik elektrik, Mohd. Khairol Bazli Lateh,33, pula berkata, cabaran ekonomi dan keadaan Covid-19 diharap dapat ditangani dengan baik oleh kerajaan dan perbincangan khas Raja-Raja Melayu diharap dapat membantu mengatasi masalah ini.

“Kami sudah tidak kisah dengan politik ketika ini. Daripada segi lanjutan darurat atau sebaliknya, kami menyerahkan kepada Majlis Raja-Raja Melayu menentukan apa yang terbaik,” katanya.

Istana Negara akan menganjurkan sesi Perbincangan Khas Raja-Raja esok atas titah perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Di JOHOR BAHRU, kakitangan swasta, Mohd. Fadhly Abdul Rahman, 36, berkata, sekiranya politik negara berada dalam keadaan stabil, perkara itu sudah tentu memudahkan kerajaan memberi fokus terhadap penyelesaian pandemik Covid-19.

“Isu-isu politik yang berlarutan ketika ini hanya menggusarkan rakyat berkaitan langkah memerangi Covid-19 yang sepatutnya menjadi keutamaan pemerintah, tetapi apabila ada dakwaan-dakwaan tertentu seperti pertukaran kerajaan, rakyat bimbang perkara utama itu terganggu,” katanya.

Sementara itu, peniaga, Mohd. Fauzan Akob, 37, berkata, dia berharap Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu mendengar rintihan-rintihan rakyat seperti diutarakan dalam akhbar selama ini seperti kesan ekonomi yang menjejaskan kehidupan harian.

Katanya, tidak semua yang menerima bantuan secara terus daripada kerajaan atau pihak-pihak lain apabila tersepit dengan penguatkuasaan PKP 3.0 ketika ini.

“Saya sendiri tiada masalah dengan penguatkuasaan PKP, Ordinan Darurat dan sebagainya jika benar langkah-langkah itu dapat membantu kita mengatasi masalah Covid-19, tetapi apa yang dibimbangi impaknya dirasai kebanyakan rakyat,” katanya.

Di MELAKA, kakitangan swasta, Mohd. Yusri Ya’akob, 38, berkata, penamatan darurat membolehkan proses semak dan imbang dilaksanakan di Parlimen.

Bagaimanapun, katanya, pembukaan semula Parlimen tidak seharusnya dijadikan medan berpolitik pihak tertentu sehingga menyebabkan kerajaan sedia ada tumbang.

“Suara rakyat seolah-olah tenggelam tanpa institusi Parlimen, contohnya isu moratorium yang mana kerajaan dilihat masih menjaga hati pihak perbankan. Tapi jangan pula disalah guna sebagai tempat untuk mencapai cita-cita peribadi,” katanya.

Sementara itu, pelajar, Muhammad Afiq Zulhelmi Karim, 25, berkata, penamatan darurat membolehkan kerajaan dan pembangkang duduk semeja membincangkan kaedah terbaik menangani kesan Covid-19 kepada kehidupan rakyat.

Jelasnya, sektor ekonomi, pekerjaan dan pendidikan perlu diberi perhatian segera kerana pelajar sepertinya akan terkesan apabila tamat pengajian kelak.

“Segala keputusan kerajaan hari ini tidak dibincangkan, malah lebih parah lagi apabila berbilion ringgit telah dihabiskan tetapi masih tidak membuahkan hasil. Justeru, benarkan Parlimen bersidang supaya rakyat menjadi saksi kesungguhan kerajaan membela rakyat marhaen seperti kami,” katanya.

Di LEMBAH KLANG, Julia Ismail, 37, berharap agar Parlimen dapat dibuka dengan kadar segera kerana hanya di Parlimen sahaja mereka dapat membincangkan soal masalah yang dihadapi rakyat Malaysia.

“Dan jika dilihat sekarang, pemimpin hanya membincangkan permasalahan parti sendiri sahaja dan rakyat semakin tidak mendapat perhatian,” katanya ketika dihubungi.

Dalam pada itu, Muhammad Amirul Hashim, 31, turut berharap agar Majlis Raja-Raja Melayu mendengar rintihan rakyat yang muak dengan kerajaan punya masalah sehingga masalah rakyat terabai.

“Bila sudah pilih kerajaan yang tidak ada sokongan, masalah ini akan berlanjutan sehinggakan rakyat yang sengsara. Permasalahan perebutan kuasa dan sebagainya perlu dihentikan dengan kadar segera dan tidak lagi hanya mementingkan parti politik sendiri sahaja,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya