TELUK INTAN: Polis meminta individu yang merakam video seorang lelaki menunggang motosikal sambil menyeret seekor kucing di Langkap Jumaat lalu, tampil bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, keterangan individu itu sebagai saksi kejadian diperlukan sebelum kertas siasatan diserahkan semula kepada Timbalan Pendakwa Raya.
Katanya, mana-mana individu yang turut menyaksikan kejadian itu juga diminta tampil menyalurkan maklumat kepada polis.
“Berdasarkan keterangan suspek, motosikal ditunggangnya telah ditahan seorang individu yang kemudian menegur perbuatannya ketika membawa kucing itu untuk dibuang.
“Pada masa sama, ada individu lain yang merakam perbuatan suspek hingga tular di media sosial. Jadi, kita minta mereka ini tampil untuk membantu siasatan,” katanya ketika ditemui pemberita pada Operasi Pemantauan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 di sekitar Teluk Intan di sini hari ini.
Ahmad Adnan memberitahu, kucing itu difahamkan tidak mati seperti dakwaan pihak tertentu sebaliknya melarikan diri sebaik sahaja terlepas dari penyauk.
“Kucing itu selamat. Difahamkan, haiwan itu terlepas dari sauk dan melarikan diri ke hutan berhampiran semasa suspek ditahan pengguna jalan raya,” katanya.
Kata beliau, siasatan kes itu dijalankan mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan dan Seksyen 29(1)(e) Akta Kebajikan Haiwan 2015.
Utusan Online pada Sabtu lalu melaporkan, seorang lelaki berusia 45 tahun ditahan bagi membantu siasatan kes penganiayaan terhadap seekor kucing di mana video dia menunggang motosikal sambil dilihat menyeret haiwan itu tular di media sosial.
Difahamkan, lelaki tersebut menangkap kucing itu menggunakan sauk untuk dibuang ke kedai berhampiran namun kaki depan haiwan itu telah terkeluar dari jaring sauk dan menyebabkan ia seolah-olah diseret di atas jalan.
Video tular berdurasi satu minit itu bukan sahaja mendapat kecaman warga maya yang tidak berpuas hati dengan tindakan kejam lelaki terbabit, malah perakam video yang dilihat tidak mengambil tindakan segera bagi menghentikan perbuatan suspek. – UTUSAN ONLINE