Perak tingkat sasaran vaksinasi kepada 15,000 sehari - Utusan Malaysia

Perak tingkat sasaran vaksinasi kepada 15,000 sehari

SAARANI MOHAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Kerajaan negeri menetapkan sasaran 15,000 suntikan harian vaksin Covid-19 kepada rakyat negeri ini berbanding purata 8,000 suntikan harian, ketika ini.

Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad berkata, untuk mencapai sasaran itu, kerajaan negeri menetapkan lima inisiatif antaranya program saringan RTK Antigen secara bersasar mengikut lokaliti ‘hotspot’ penularan Covid-19 berdasarkan analisis data oleh Jabatan Kesihatan negeri.

Katanya, di bawah inisiatif itu, saringan secara lokaliti bersasar akan membantu mengenal pasti mereka yang positif, tetapi, tidak bergejala dan berisiko menularkan jangkitan, sekaligus membantu Jabatan Kesihatan negeri mengesan jangkitan lebih awal serta memulakan rawatan.

Menurutnya, inisiatif itu membantu meringankan beban tugas Jabatan Kesihatan dan ia akan segera dilaksanakan segera pada bulan ini.

“Kerajaan negeri juga akan melaksanakan vaksinasi secara pandu lalu dan Jawatankuasa Bertindak Imunisasi Covid 19 (CITF) negeri telah mengenal pasti dua lokasi bagi inisiatif Pusat Pemberian Vaksinasi (PPV) Pandu Lalu iaitu di bandar raya Ipoh dan di Meru di sini.

“Inisiatif ini dimulakan di daerah Kinta memandangkan daerah tersebut mempunyai bilangan penduduk tertinggi di negeri ini.

“Melalui inisiatif ini, kerajaan negeri yakin ia mampu meningkatkan anggaran suntikan vaksinasi harian antara 800 hingga 1,500 sehari selain mengurangkan kesesakan di PPV sedia ada. PPV Pandu Lalu ini juga akan dilaksanakan di daerah lain secara berperingkat,” katanya dalam sidang akhbar secara maya di sini hari ini.

Menurut Saarani, satu lagi inisiatif ialah Program Outreach Vaksinasi Covid 19 dengan mengenal pasti beberapa kumpulan penerima vaksin yang memerlukan perkhidmatan capaian khas.

Katanya, bagi memastikan tiada yang tercicir dalam urusan vaksinasi ini, program Outreach telah dilaksanakan dan sehingga 1 Jun lalu, seramai 2,270 penerima telah divaksin melalui inisiatif ini.

“Kumpulan vaksinasi bergerak telah memulakan vaksinasi di rumah jagaan warga emas atau rumah jagaan khas dan akan memulakan urusan vaksinasi dari rumah ke rumah bagi warga emas, orang kurang upaya yang berkeperluan khas.

“Selain itu, mobile team ini juga akan mula memasuki kawasan-kawasan pedalaman dengan dibantu oleh lain-lain agensi terutama bagi bantuan logistik dan pergerakan di kawasan berkenaan,” katanya.

Kata Saarani, kerajaan negeri juga akan menyediakan 80 buah kenderaan pengangkutan yang mampu membawa 1,000 penerima vaksin ke PPV setiap hari untuk memudahkan golongan yang mempunyai kesukaran pengangkutan serta orang kelainan upaya (OKU).

Menurut Saarani, kerajaan negeri juga akan melaksanakan pembelian vaksin oleh syarikat berkaitan kerajaan negeri (GLC)

“Sehubungan itu, kerajaan negeri sudah meminta Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) melalui anak syarikatnya, Maju Perak untuk membeli terus bekalan vaksin daripada Pharmaniaga.

“Melalui inisiatif ini, mana-mana pihak secara individu atau syarikat boleh mendapatkan vaksin secara berbayar untuk diberikan kepada pekerja,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya