Penyumbang Akaun Amanah Bencana layak dapat potongan cukai - Utusan Malaysia

Penyumbang Akaun Amanah Bencana layak dapat potongan cukai

Cadangan reformasi percukaian lain yang dicadangkan seperti pengenalan cukai karbon. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Mana-mana individu mahu pun syarikat-syarikat korporat layak mendapat potongan cukai bagi setiap sumbangan yang disalurkan kepada Akaun Amanah Bencana.

Kementerian Kewangan dalam kenyataan berkata, tabung berkenaan ditubuhkan untuk memberi bantuan kepada mangsa-mangsa bencana, mengurangkan risiko serta pengurusan mangsa bencana termasuk penularan Covid-19 yang sedang melanda negara dan seluruh dunia.

Menurut kementerian itu, potongan cukai itu Selaras dengan Akta Cukai Pendapatan 1967, dengan syarat sumbangan disokong oleh resit rasmi Kerajaan (Kew. 38) atau dokumen pengesahan atau resit transaksi bagi sumbangan yang dikreditkan melalui saluran-saluran sistem perbankan rasmi.

“Akaun Amanah Bencana ini ditadbir oleh Jawatankuasa Akaun Amanah yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan dan dianggotai oleh wakil-wakil dari Kementerian Kewangan, Jabatan Akauntan Negara, Unit Penyelarasan dan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).

“Pengoperasian akaun ini juga tertakluk kepada undang-undang dan garis panduan rasmi, termasuk pengauditan berkala, yang ditetapkan bagi akaun akaun amanah kerajaan,” katanya hari ini.

Kementerian Kewangan berkata, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta Badan Berkanun Persekutuan juga digalakkan untuk mempertimbangkan pemotongan gaji dan ganjaran kakitangan secara sukarela untuk disumbangkan ke dalam Akaun Amanah Bencana ini.

Katanya, ia sebagai tanda manifestasi solidariti bagi membantu kerajaan dengan mengambil kira situasi semasa.

Sumbangan boleh dibuat ke dalam akaun (Nama Akaun : Akaun Amanah Bencana, Bank : Maybank Islamic Berhad, No. Akaun : 5660 1065 0930).

Pada 31 Mei lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengumumkan bahawa gaji barisan Menteri dan Timbalan Menteri yang tidak diambil selama tiga bulan mulai bulan ini akan disumbangkan ke dalam Akaun Amanah Bencana sebagai membiayai perbelanjaan berkaitan Covid-19.

Sehari berikutnya, Ketua Setiausaha Negara juga mengumumkan bahawa potongan sebahagian Imbuhan Tetap Keraian (ITK) ataupun Imbuhan Tetap Khidmat Awam (ITKA) penjawat awam selama 3 bulan mulai bulan ini juga akan disumbangkan ke dalam akaun yang sama. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya