JEMPOL: ‘Percintaan’ alam maya seorang penoreh getah di Air Hitam, di sini, sejak Februari lalu membawa padah apabila dia kerugian hampir RM100,000 selepas terjerat dengan sindiket ‘Love Scam’.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook berkata, berdasarkan siasatan awal, mangsa telah berkenalan dengan seorang wanita warganegara Singapura di Facebook bernama Sarah Wong yang menetap di Australia.
“Mangsa telah berhubung lanjut dengan individu berkenaan dan menjalinkan hubungan secara maya. Perhubungan mangsa dengan individu berkenaan hanya melalui mesej di WhatsApp sahaja, mangsa tidak pernah membuat panggilan telefon ataupun panggilan video kepada individu berkenaan sepanjang perkenalan tersebut.
“Semasa perhubungan berkenaan, mangsa menjadi tempat kenalannya itu meluahkan masalah perniagaan yang dijalankan berkaitan perniagaan minyak mentah di luar negara dan kenalannya itu meminta mangsa untuk meminjamkan wang bagi penyelesaian urusan-urusan perniagaan yang tergendala,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Chang Hook berkata, mangsa yang mempercayai hubungan berkenaan telah meminjamkan sejumlah wang kepada kenalannya itu bagi membantu permasalahan yang dihadapi.
Menurutnya, mangsa telah melakukan enam kali transaksi berjumlah RM99,000 ke akaun CIMB 7059592148 atas penama Chew Wei Luen yang dikatakan merupakan akaun pekerja syarikat yang menguruskan kewangan syarikat.
“Setelah selesai urusan kemasukkan wang tersebut kenalan mangsa itu sekali lagi meminta sejumlah wang RM131,000.00 dengan alasan kewangan syarikat masih lagi tidak dapat diselesaikan.
“Mangsa mulai curiga dengan hal yang berlaku ini dan membuat laporan polis semalam di Balai Polis Bahau bagi memastikan samada hal yang berlaku adakah benar atau sebaliknya,” katanya.
Jelas Chang Hook, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan siasatan lanjut masih dijalankan.
“Kami mohon orang ramai untuk tidak mudah mempercayai individu yang dikenali lebih-lebih lagi di media sosial bagi mengelak menjadi mangsa penipuan sindiket berkaitan jenayah komersial,” katanya.- UTUSAN ONLINE