Penjara bukan hanya jalan penyelesaian pekerja asing tanpa dokumen - Utusan Malaysia

Penjara bukan hanya jalan penyelesaian pekerja asing tanpa dokumen

Kerajaan diminta memikirkan alternaif lain selain pemenjaraan bagi warga asing yang melanggar arahan PKP. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Langkah kerajaan untuk menjalankan operasi bersama menahan pekerja asing tanpa dokumen ketika sekatan pergerakan penuh selama tempoh dua minggu merupakan tindakan tidak masuk akal apabila masih menganggap penangkapan serta pemenjaraan secara besar-besaran sebagai pilihan utama mengawal pandemik.

Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (KRPPM) Memperbaharui Penjara dan Tempatan Tahanan berkata, lebih 109 negara telah menerapkan langkah berdasarkan sains dan fakta bagi mengurangkan kesesakan penjara dan melaksanakan hukuman alternatif selain pemenjaraan berbanding Malaysia yang masih ketinggalan.

Justeru, pihak berkenaan mendesak kerajaan untuk mempertimbangkan hukuman alternatif, selain pemenjaraan untuk sebarang pelanggaran arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Sudah tiba masanya kerajaan memikirkan semula pendekatan menghukum dan menerima bahawa Covid-19 sebaliknya memerlukan pendekatan kesihatan menyeluruh.

“Satu-satunya cara memutuskan jangkitan adalah dengan penglibatan pengurusan kesihatan awam secara menyeluruh termasuk memberi vaksin kepada kumpulan paling terdedah dalam masyarakat kita seperti tahanan penjara, pekerja asing dan warga asing tanpa dokumen sambil menyedari bahawa kesihatan penjara adalah kesihatan awam dan tidak sesiapa pun tercicir,” kata kenyataan kumpulan itu hari ini.

KRPPM dianggotai tujuh individu melibatkan ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang serta dua tokoh masing-masing berlatarbelakangkan undang-undang dan perubatan.

Antaranya termasuklah Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said; Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar; ahli akademik Universiti Malaya, Prof. Datuk Dr. Adeeba Kamarulzaman dan peguam Sangeet Kaur Deo.

Tambah kenyataan itu lagi, penambahan individu dalam pusat tahanan sementara akan menjejaskan negara dan tindakan berkenaan turut bertentangan dengan pandangan dan fakta yang dikemukakan oleh pakar dari seluruh dunia. 

Malah katanya, tindakan itu bukan sahaja mengganggu-gugat membendung penularan virus tetapi juga mampu membahayakan khalayak ramai dengan mencetuskan kluster Covid-19 memandangkan virus itu tidak dapat dikekang dengan ‘dinding’ penjara semata-mata.

“Tindakan ini juga akan menjejaskan kesihatan awam kerana penahanan pekerja asing tanpa dokumen akan mencetuskan rasa ketakutan yang akan menghalang kumpulan yang paling terdedah daripada jangkitan untuk mengambil vaksin secara sukarela. Tanpa penyertaan mereka dalam program vaksin kebangsaan, amat sukar bagi kita mencapai imuniti kelompok. 

“Oleh itu, negara kita akan terus terdedah kepada varian dan mutasi baharu dan lebih berbilion-bilion ringgit dan tenaga manusia perlu disalurkan untuk mengekang penularan wabak ini,” jelas kenyataan itu.- UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya