LUMUT: Golongan penjaja dan peniaga kecil semakin terhimpit dengan masalah kewangan berikutan jualan berkurangan tetapi kos perniagaan tidak berubah atau terus meningkat sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.
Keadaan lebih sukar bagi penjaja dan peniaga kecil yang bergantung kepada sektor pelancongan terutama di Pulau Pangkor berikutan pulau itu tidak menerima sebarang kehadiran pengunjung.
Justeru, Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Negeri Perak merayu kepada kerajaan negeri agar dapat mengecualikan bayaran sewa premis kerajaan terutama dimiliki Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sehingga akhir tahun ini.
Setiausaha Kehormatnya, Mohd Zamzuri Suid berkata, pihaknya bersyukur dengan keprihatinan kerajaan negeri yang mengecualikan bayaran sewa premis PBT selama sebulan, bulan ini, seperti diumumkan melalui Pakej Rangsangan Ekonomi Perak 2021, baru-baru ini.
Bagaimanapun, katanya, berdasarkan Pelan Pemulihan Negara yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, baru-baru ini, difahami bahawa rakyat dan negara ini dijangka masih terus bergelut dengan pandemik Covid-19 sehingga hujung tahun ini.
“Justeru, kami merayu agar pengecualian sewa premis PBT di negeri ini dapat dilanjutkan untuk tempoh enam bulan lagi iaitu bermula Julai hingga Disember ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Mohd Zamzuri, ramai penjaja dan peniaga kecil terutama yang berada dalam sektor dianggap bukan keperluan seperti peniaga pakaian yang tidak dapat membuka perniagaan tetapi sewa premis masih tetap perlu dibayar.
Dalam perkembangan lain, Mohd Zamzuri mencadangkan agar bayaran one-off kepada penjaja dan peniaga kecil menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi Perak 2021 dapat diselaraskan menerusi pihak Sekretariat Usahawan Perak (STeP), bukan menerusi PBT seperti yang dijadualkan.
Ia kerana STeP mempunyai sistem maklumat dan data yang lebih menyeluruh berkaitan penjaja dan peniaga kecil termasuk peniaga yang tidak berdaftar dengan PBT seperti peniaga tepi jalan dan peniaga luar bandar.
“Berdasarkan maklumat terbaru yang kami terima, ada sebahagian peniaga kecil dan penjaja yang sepatutnya menerima bayaran ‘one-off’ RM500 ketika PKP 1.0 tahun lalu, hanya baru diterima pada minggu ini.
“Jadi, kami syorkan mungkin kerajaan negeri boleh melakukan kaedah sama seperti untuk sektor pelancongan apabila berhubung terus dengan persatuan berkaitan yang mempunyai pengkalan data lengkap senarai mereka yang terjejas sekali gus memastikan bayaran dapat dibuat dengan lebih cepat dan sampai ke sasaran” katanya.
Menurutnya, pihaknya berharap semua penjaja dan peniaga kecil dapat menerima bayaran itu terutama mereka yang berdaftar dengan PBT tetapi tidak menerima bantuan semasa PKP1.0 dan PKP2.0 tahun lalu.
Ujarnya, kebanyakan mereka terdiri daripada peniaga-peniaga pasar pagi atau sehari, pasar malam, pasar tani dan peniaga-peniaga tepi jalan yang mempunyai lesen atau permit sementara dengan PBT, yang dikategorikan sebagai peniaga bawahan yang hanya bergantung kepada sumber pendapatan harian semata-mata.
Jelasnya, persatuan itu juga sudah menghantar surat rasmi perkara berkaitan kepada Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad, baru-baru ini, dan berharap mendapat perhatian kerajaan negeri. – UTUSAN ONLINE