KUANTAN: Penjaga yang mahu menjaga atau menemani ahli keluarga lain yang dirawat di hospital dirayu mengelakkan berbuat demikian terutama mereka yang bergejala seperti batuk dan demam.
Ini penting agar kita dapat mengelakkan diri daripada menjadi punca kepada kewujudan kluster-kluster baharu apatah pula yang membabitkan kemudahan kesihatan awam yang penting seperti hospital.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, beliau sedih apabila wujudnya kluster mini membabitkan Wad Kenanga Enam (lelaki) di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas), Temerloh yang berpunca daripada seorang penjaga pesakit bergejala.
Ekoran itu, katanya, ‘terminal cleansing’ telah dibuat di Wad Kenanga Enam Hoshas dan wad tersebut ditutup daripada kemasukan pesakit baharu.
“Penjaga pesakit yang dimaksudkan didapati mempunyai ‘epid link’ dengan kes positif Covid-19 di Tanah Rancangan Tanah Felda Jengka 7, Maran atau dikenali Kluster Rantau Kenanga.
“Sehingga semalam, Sabtu, 23 orang disahkan positif dari wad tersebut membabitkan sembilan petugas kesihatan, 12 pesakit dan dua penjaga pesakit.
“Ia termasuk dua kematian iaitu pesakit yang dijagai oleh penjaga bergejala berkenaan, pesakit 71 tahun iaitu ayah kepada penjaga itu, meninggal dunia pada 9 Jun, dan seorang lagi meninggal dunia pada 8 Jun,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. -UTUSAN ONLINE