Peniaga sayur Kundasang ‘nyawa-nyawa ikan’ - Utusan Malaysia

Peniaga sayur Kundasang ‘nyawa-nyawa ikan’

AZIZUL Julirin yang mengusahakan tanaman sayuran di Kundasang Aquafarm di Ranau, Sabah turut terjejas semasa PKP kali ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RANAU: “Bersyukurlah kalau dapat RM10 sehari”. Itu antara rintihan peniaga sayur-sayuran di Pekan Kundasang, dekat sini yang terjejas teruk akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Presiden Persatuan Pemborong dan Peruncit Sayur Bumiputera Kundasang, Mariana Taliban berkata, pendapatan peniaga sayur seperti mereka cukup terjejas semasa PKP 3.0 susulan larangan rentas daerah.

“Kadangkala bersyukurlah kalau kami boleh dapat RM10 sehari dan paling tinggi pun RM50, bergantung kepada jenis sayuran yang terjual.

“Pada masa ini, daripada 164 peniaga sayur dan buah-buahan di Pekan Kundasang, hanya 15 hingga 20 gerai yang beroperasi semasa PKP,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurut Mariana, sekiranya PKP dilanjutkan sehingga pertengahan Julai, mereka berharap ada bantuan kepada peniaga kecil.

GERAI sayur di Pekan Kundasang, Sabah yang terjejas teruk sejak pelaksanaan PKP 3.0.

Sementara itu, Azizul Julirin,33, berkata, hasil pengeluaran sayurannya berkuranganira-kira RM10,000 kerana tempahan menurun semasa PKP 3.0.

“Biasanya sayur-sayuran yang ditanam di Kundasang Aquafarm, Mesilau ini dijual ke pasar raya di sekitar Kota Kinabalu dan Sarawak.

“Pengeluaran sayuran berdaun seperti salad dan sawi di kebun ini boleh mencecah tiga tan metrik sebulan tetapi disebabkan PKP kami terpaksa mengawal pengeluaran bagi mengelakkan kerugian besar sekiranya tempahan sayuran semakin berkurang,” katanya.

Katanya, jika PKP dilanjutkan lagi, petani akan mula kehabisan modal pusingan untuk menampung perbelanjaan menanam semula sayur-sayuran.

Graduan Universiti Malaysia Sabah itu berkata, biarpun terkesan, pembekal dan pemborong sayuran sepertinya masih boleh memperoleh pendapatan semasa PKP.

Namun, bagi pekebun kecil yang menanam sayur untuk sara diri, golongan itu sangat terjejas kerana tidak dapat memasarkan sayuran yang ditanam memandangkan tiada pelanggan luar yang dibenarkan masuk ke Kundasang. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN