MERSING: Pemilik kedai menjual ikan di Teluk Buih, di sini terpaksa menanggung kerugian selepas kedainya lengang gara-gara tular pesanan suara palsu di WhatsApp mengatakan terdapat pemilik gelang pink berkunjung ke kedainya, kelmarin.
Wan Mohd. Hafizul Wan Musa, 37, berkata, pesanan suara tular itu turut menyatakan konon kedai terbabit turut menerima notis penutupan oleh Kementerian Kesihatan, namun sebaliknya ia tidak berlaku.
“Kedai saya teruk ditularkan melalui pesanan suara tersebut sehingga orang tidak datang selepas mula tersebar pada petang Khamis. Sudah enam tahun saya berniaga di sini, sebagai pemilik kedai saya pening kepala apabila kecoh menyatakan kami kena buat ujian calitan, kedai tutup dan sebagainya tetapi tiada pun.
“Semalam kehadiran pelanggan terlalu ketara hanya dua, tiga orang sahaja datang. Biasanya dalam sehari saya boleh dapat lebih RM1,000 tetapi semalam hanya RM100 lebih sahaja hasil jualan,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini
Kata Wan Mohd. Hafizul, susulan itu dia telah membuat laporan polis di Balai Polis Mersing hari ini untuk membersihkan nama kedainya sekali gus menafikan berita tidak benar itu.
Tambahnya, dia juga telah berhubung sendiri dengan pihak Kementerian Kesihatan yang turut memaklumkan tiada sebarang jangkitan di kawasan itu.
“Untuk makluman pihak Kementerian Kesihatan juga tidak mengeluarkan apa-apa arahan kuarantin atau ujian calitan kepada mana-mana peniaga di sini.
“Diharap dengan laporan polis ini dapat membantu memulihkan perniagaan kami di sini dan pelanggan tidak lagi takut untuk membeli ikan di sini,” katanya.- UTUSAN ONLINE