JOHOR BAHRU: Penggiat sektor pelancongan di negeri ini yang layak mendapat bantuan di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) Ihsan Johor 3.0 boleh mula membuat permohonan secara atas talian bermula Selasa ini.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Tourism Johor, permohonan secara dalam talian berkenaan hanya dibuka selama 15 hari sahaja sebelum berakhir pada 30 Jun ini.
Katanya, permohonan itu boleh dibuat di laman sesawang https://johortourism.org/.
“Kerajaan negeri melalui Tourism Johor komited akan melaksanakan pemberian Insentif One-Off dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM1.74 juta kepada kumpulan sasar.
“Pembayaran secara berfasa akan dibuat bermula pada bulan Julai ini dan segala maklumat terkini terdapat di laman Facebook Tourism Johor,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Khamis lalu, Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad mengumumkan peruntukan sebanyak RM1.74 juta disediakan bagi membantu penggiat sektor pelancongan di bawah PRE Ihsan Johor 3.0.
Hasni berkata, sebanyak 267 pengusaha hotel bajet yang berdaftar masing-masing akan menerima bantuan RM2,000 manakala 551 pengusaha inap desa yang berdaftar masing-masing mendapat bantuan sebanyak RM1,000.
Malah, pemberian bantuan sebanyak RM1,000 turut diberikan kepada 600 pemandu pelancong di negeri ini serta kepada 60 agensi pelancongan di negeri Johor yang berdaftar dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.
Sementara itu, Tourism Johor yakin insentif itu dapat memberi manfaat serta meringankan beban semua penggiat industri pelancongan yang terkesan secara langsung semasa pandemik Covid-19 ini terutama di Johor. -UTUSAN ONLINE