Penguat kuasa PBT pun kena kompaun jika langgar SOP - Utusan Malaysia

Penguat kuasa PBT pun kena kompaun jika langgar SOP

GAMBAR penguat kuasa PBT tidak memakai pelitup muka yang tular di media sosial sejak semalam. - Foto Media Sosial
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR MAS: Penguat kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) di sini tidak akan terlepas daripada dikompaun selepas gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketika bertugas di Rantau Panjang, di sini semalam.

Lelaki berusia 39 tahun terbabit dikesan melanggar SOP, iaitu tidak memakai pelitup muka semasa dikatakan sedang mengenakan kompaun terhadap peniaga sehingga gambarnya tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd. Nasaruddin M. Nasir berkata, pihaknya segera melakukan siasatan sejurus menerima laporan orang awam mengenai perkara tersebut.

Katanya, penguat kuasa berkenaan akan dikenakan tindakan mengikut Peraturan 17 Peraturan-Peraturan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021 kerana tidak memakai pelitup muka di tempat awam.

“Tindakan anggota penguat kuasa itu telah menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan masyarakat kerana gagal mematuhi SOP ketika menjalankan tugas,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Difahamkan, ketika kejadian anggota penguat kuasa PBT berkenaan sedang mengeluarkan kompaun terhadap peniaga jalanan yang menjalankan perniagaan di lokasi tidak dibenarkan iaitu berdekatan Masjid Beijing, Rantau Panjang.

Gambarnya tular di media sosial sejak semalam, mengundang kecaman warganet yang rata-ratanya mempertikai perbuatannya yang tidak memakai pelitup muka ketika pelaksanaan sekatan pergerakan penuh..

Mengulas lanjut, Mohd. Nasaruddin berkata, polis sama sekali tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang dikesan melanggar SOP sepanjang pelaksanaan sekatan pergerakan penuh ketika ini.

“Nasihat saya, sentiasa patuhi SOP dalam usaha kita memutuskan rantaian pandemik Covid-19. Ingatlah, kita masih belum menang dalam melawan pandemik ini,” ujarnya.- UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya