Penganggur didenda RM35,000 tipu bekas setiausaha politik - Utusan Malaysia

Penganggur didenda RM35,000 tipu bekas setiausaha politik

Encorp
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Gara-gara menipu seorang bekas setiausaha politik dengan menyamar sebagai pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), seorang penganggur didenda RM35,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Hakim Izralizam Sanusi menjatuhkan hukuman denda itu terhadap Md. Nizam Md Yacob, 36, selepas  tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan yangdibacakan terhadapnya.

Mahkamah turut memerintahkan Md. Nizam dipenjara tiga tahun jika gagal membayar denda itu.  Tertuduh membayarnya.

Mengikut pertuduhan, Md. Nizam didakwa menipu lelaki berusia 48 tahun itu dengan menyamar sebagai  pegawai penyiasat SPRM dari Putrajaya sehingga mendorong mangsa mempercayai tertuduh dapat menyelesaikan kesnya yang akan dituduh di mahkamah.

Perbuatan itu menyebabkan mangsa menyerahkan RM50,000 kepada tertuduh untuk menyelesaikan kes dengan SPRM, sedangkan mangsa tidak akan  menyerahkan wang itu sekiranya tidak diperdayakan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan kawasan joki kereta sebuah hotel di Jalan Putra, Chow Kit di sini pukul  11.26 pagi pada 9 November 2018.

Menurut fakta kes, Md. Nizam telah menghubungi mangsa dengan memperkenalkan diri sebagai pegawai penyiasat SPRM dan memberitahu lelaki itu
menghadapi 76 pertuduhan rasuah melibatkan kes pengubahan wang haram dan salah guna kuasa.

Dalam pertemuan pertama, tertuduh pada asalnya meminta mangsa membayar RM2 juta untuk menyelesaikan kesnya dan isteri dengan membayar wang pendahuluan RM500,000 pada malam tersebut.

Mangsa kemudian meminta penangguhan dan berjanji untuk membayarnya sebanyak dua kali.

Pada hari kejadian, tertuduh membayar RM50,000 dan penyerahan wang berlaku dalam kereta yang dipandu oleh tertuduh di kawasan hotel berkenaan.

Terdahulu Md. Nizam yang tidak diwakili peguam merayu hukuman minimum dengan alasan dia tidak bekerja, menanggung keluarga serta menyesal dengan perbuatannya.

Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin memohon mahkamah  mengenakan hukuman denda antara RM30,000 hingga RM40,000 kepada tertuduh dengan mengambil kira faktor kepentingan awam selain pengakuan salah tertuduh selepas pertuduhan kali pertama dibacakan terhadapnya.

Dia didakwa mengikut Seksyen 415 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum dibawah Seksyen 417 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya