TAMPIN: Penduduk di Kampung Pasir Besar, di sini, dikejutkan dengan penemuan lebih 10 karung bersaiz besar berisi bahan buangan yang hampir mereput di dalam sebuah ladang kelapa sawit yang terletak bersempadan dengan Felda Pasir Besar.
Seorang penduduk, Zaidin Zainal Abiden, 50, berkata, perkara itu dimaklumkan kepadanya oleh seorang penduduk lain pada Rabu lalu yang mencari punca perubahan warna air kolam miliknya.
Kolam tersebut terletak berdekatan lokasi pembuangan sisa tersebut yang dipercayai merupakan sisa sawit.
Menurut Zaidin, dia segera ke lokasi tersebut bagi melihat sendiri aduan berkenaan dan telah memaklumkannya kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sembilan.
“Kalau lihat daripada keadaan karung, mungkin sudah hampir sebulan juga bahan ini dibuang di lokasi ini. Sebagai penduduk kita tak pasti sama ada bahan ini berbahaya atau tidak namun sekiranya hujan lebat, air daripada bahan ini mengalir masuk ke dalam anak air Busung.
“Kemudian, air ini pula mengalir masuk ke dalam Sungai Muar yang terletak kira-kira 1.5 kilometer dari lokasi ini dan air sungai ini merupakan sumber air buat penduduk,” katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Pasir Besar, di sini hari ini.
Zaidin berkata, ia merupakan kejadian yang pertama kali berlaku dan dia berharap agar pihak bertanggungjawab dapat mengambil tindakan segera memandangkan sisa berkenaan juga mengeluarkan bau.
“Jika ia berbahaya kita harap ia akan dilupuskan dengan sebaik mungkin,” katanya.
Sementara itu, Pengarah JAS negeri, Azuri Azizah Saedon berkata, siasatan di lapangan telah dijalankan semalam dan sampel telah diambil untuk siasatan lanjut.
“Siasatan awalan menunjukkan ia bukan buangan terjadual dan disyaki bahan tersebut merupakan sisa sawit.
“Bagaimanapun, JAS perlu menunggu laporan analisa daripada Jabatan Kimia bagi mengetahui bahan sebenar yang dibuang di lokasi berkenaan untuk tindakan selanjutnya,” katanya lagi.- UTUSAN ONLINE